Peranan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad dalam Bidang Perkamusan

 Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad yang dahulunya dikenali sebagai Institut Terjemahan Negara Malaysia telah ditubuhkan pada 14 September 1993 untuk tujuan menyediakan prasarana industri terjemahan di negara Malaysia. Pentadbiran bagi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad adalah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia. Matlamat utama penubuhan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad adalah untuk memartabatkan industri penterjemahan di Malaysia. Penubuhan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad juga adalah untuk mengendalikan hal ehwal berkaitan dengan penterjemahan, kejurubahasaan dan pemindahan ilmu pada semua peringkat sama ada peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad juga turut bertanggungjawab dalam memperkasa dan memperbanyak penerbitan karya asli penulis tempatan bagi merancakkan industri penulisan buku di Malaysia. Visi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad adalah untuk menjadikan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad sebagai badan penterjemahan terunggul dan penerbit buku berkualiti. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad turut menyumbang ke arah memperkembang bidang perkamusan di negara Malaysia secara tidak langsung menerusi aktiviti penterjemahan yang dilakukan.

Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad memberi sumbangan terhadap perkembangan bidang perkamusan menerusi aktiviti penterjemahan buku-buku daripada pelbagai bahasa sasaran kepada bahasa Melayu. Tujuan utama penterjemahan yang dilakukan oleh pihak Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad adalah untuk memperkembang bidang ilmu pengetahuan daripada bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Perkara tersebut bertepatan dengan pernyataan Ainon Mohd (1980) yang menyatakan bahawa tujuan utama penterjemahan buku daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran adalah untuk memindahkan ilmu daripada satu komuniti bahasa kepada komuniti bahasa yang lain. Hal ini signifikan dengan hasrat Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad untuk mengatasi halangan bahasa dalam penyebaran ilmu pengetahuan melalui terjemahan berkualiti untuk melahirkan masyarakat maju, selaras dengan Wawasan 2020. Menerusi aktiviti penterjemahan yang dilakukan, pihak Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad dapat mengenal pasti padanan perkataan dalam bahasa sumber dengan bahasa Melayu. Dalam penterjemahan karya dalam bahasa Inggeris, pihak Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad akan mencari padanan kata yang bersesuaian dalam bahasa Melayu untuk mentakrifkan maksud yang bersesuaian dengan perkataan bahasa Inggeris tersebut. Sebagai tamsilan, perkataan bunting dalam bahasa Inggeris adalah sama maksud dengan perkataan gegantung dalam bahasa Melayu. Hal ini secara tidak langsung membantu dalam bidang perkamusan di Malaysia menerusi aktiviti penterjemahan tersebut. Penterjemahan yang dilakukan oleh pihak Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad ini memastikan kerelevanan bidang perkamusan untuk kegunaan masa hadapan. Hal ini demikian kerana, aktiviti penterjemahan memerlukan penggunaan kamus untuk mencari padanan makna antara bahasa sumber dengan bahasa sasaran. Konklusinya, aktiviti penterjemahan yang dilakukan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad mewujudkan padanan perkataan antara bahasa asing dengan bahasa Melayu untuk memantapkan aspek pengekodan bahasa Melayu yang menjadi asas dalam perkamusan pada masa hadapan.

Penerbitan buku dalam pelbagai bidang ilmu juga merupakan salah satu fungsi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad dalam memperkembang bidang perkamusan di negara Malaysia. Perkara tersebut sejajar dengan hasrat fungsi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad untuk memperkaya dan memperkasa kepustakaan berbahasa Melayu sebagai wahana pemikiran bangsa Malaysia meliputi aspek budaya, sains dan teknologi melalui terjemahan dan penerbitan buku. Melalui aktiviti penerbitan buku tersebut, pihak fungsi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad dapat mengenal pasti istilah-istilah teknikal dalam pelbagai bidang ilmu yang tidak mempunyai padanan sesuai dengan bahasa Melayu jika diterjemahkan secara terus. Hal ini demikian kerana, kebanyakan istilah-istilah dalam bidang ilmu tertentu tidak mempunyai padanan yang tepat dengan perkataan dalam bahasa Melayu terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.Setelah mengenal pasti beberapa istilah-istilah dalam pelbagai bidang ilmu yang tidak mempunyai padanan makna dengan bahasa Melayu, pihak Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad akan berkolaborasi dengan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi Jawatankuasa Istilah untuk membentuk istilah baharu yang dapat mentakrifkan konsep dalam bidang ilmu tertentu dengan lebih tepat berdasarkan beberapa kriteria pembentukan istilah yang telah ditetapkan. Tamsilannya, untuk mentakrifkan konsep perkataan configuration dalam bahasa Inggeris, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah mencipta perkataan baharu bagi mendukung konsep tersebut iaitu perkataan tatarajah berpandukan kepada tatacara pembentukan istilah yang telah ditetapkan (Nik Safiah Karim et al., 2010). Penerbitan buku yang dilakukan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad membantu dalam penghasilan istilah-istilah baharu bahasa Melayu bagi mentakrifkan sesuatu konsep baharu. Perkara tersebut kemudiannya menjadi asas dalam penghasilan istilah-istilah pada masa hadapan. Penemuan dalam pelbagai bidang menuntut pembentukan istilah baharu dalam bahasa Melayu. Hal ini amatlah penting agar bahasa Melayu dapat mentakrifkan konsep yang bersesuaian dengan istilah tersebut. Intihanya, penerbitan buku oleh pihak Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad menjadi asas dalam pembentukan istilah baharu dalam bidang perkamusan untuk mendefinisikan konsep atau penemuan baharu dalam pelbagai bidang ilmu pada masa hadapan.

Dalam memperkembang bidang perkamusan, pihak Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad juga mewujudkan satu standard dalam bidang terjemahan. Pernyataan tersebut bertepatan dengan kenyataan Khairuddin Mohamad et al. (2014) yang menyatakan bahawa Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad telah mengambil alih kerja-kerja terjemahan daripada Bahagian Terjemahan, Dewan Bahasa dan Pustaka secara rasmi. Hal ini bermakna, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad menjadi badan tunggal di Malaysia yang merancang, melaksana, mengurus dan meyelaras hal ehwal terjemahan, kejurubahasaan dan pemindahan maklumat berbilang bangsa pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Oleh yang demikian, pihak Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad perlu menetapkan kriteria penterjemahan yang perlu dipatuhi agar makna teks daripada bahasa sumber dapat dikekalkan ke dalam bahasa sasaran. Dalam hal ini, pihak Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad perlu mengambil kira beberapa aspek dalam menentukan kaedah penterjemahan yang bersesuaian dengan konteks bahasa sumber. Perkara ini amatlah penting untuk mengelakkan berlakunya perubahan makna disebabkan oleh pemilihan kaedah penterjemahan yang kurang sesuai. Dalam hal ini, penterjemahan perlulah mematuhi prinsip penterjemahan yang telah ditetapkan iaitu mengekalkan takrifan asal teks sumber. Berdasarkan pernyataan tersebut, pemilihan istilah yang tepat dalam penterjemahan adalah amat penting untuk memastikan makna asal teks sumber dapat dikekalkan ke dalam teks sasaran. Perkara tersebut secara tidak langsung membantu bidang perkamusan menerusi proses terjemahan. Hal ini demikian kerana, pemilihan kaedah penterjemahan yang sesuai dapat mentakrifkan definisi asal sesuatu teks sumber. Ringkasnya, penetapan tatacara dalam penterjemahan oleh pihak Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad membantu bidang perkamusan pada masa hadapan kerana mewujudkan satu padanan makna yang mantap menerusi kaedah penterjemahan yang bersesuaian.

Secara holistik, pihak Institut Penterjemahan dan Buku Malaysia Berhad telah mengambil beberapa inisiatif untuk memperkembang bidang perkamusan di negara ini signifikan dengan kehendak dan keperluan semasa. Dalam hal ini, pihak Institut Penterjemahan dan Buku Malaysia Berhad melakukan kolaboratif dengan beberapa institusi yang lain terutamanya dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Menerusi aktiviti terjemahan, pihak Institut Penterjemahan dan Buku Malaysia Berhad dapat mengenal pasti padanan perkataan dalam bahasa Melayu dengan bahasa yang lain. Hal tersebut secara tidak langsung membantu dalam leksikografi perkamusan. Aktiviti penerbitan buku oleh pihak Institut Penterjemahan dan Buku Malaysia Berhad secara tidak langsung membawa kepada pembentukan istilah baharu untuk mentakrifkan konsep baharu yang tidak terhadap dalam bahasa Melayu. Pembentukan istilah tersebut adalah mengikut kriteria yang telah ditetapkan agar makna perkataan tersebut dapat disampaikan dengan lebih tepat. Dalam usaha untuk memantapkan bidang perkamusan, pihak Institut Penterjemahan dan Buku Malaysia Berhad juga menetapkan piawaian dalam penterjemahan untuk memastikan pengekalan makna terjemahan daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran. Ringkasnya, pihak Institut Penterjemahan dan Buku Malaysia Berhad telah mewujudkan suatu kriteria penterjemahan yang penting dalam bidang perkamusan pada masa akan datang untuk mentakrifkan konsep baharu dalam pelbagai bidang ilmu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran