Peranan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam Bidang Perkamusan

 Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Kementerian Pendidikan Malaysia merupakan sebuah badan induk yang mentadbir sistem pendidikan negara ke arah mewujudkan suatu sistem pendidikan bertaraf dunia menerusi penanda aras sistem pendidikan pada peringkat global. Signifikan dengan hasrat tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia berusaha untuk mewujudkan bahan bacaan dan bahan rujukan dalam pelbagai bidang ilmu untuk murid-murid sama ada pada peringkat sekolah rendah mahupun peringkat sekolah menengah. Dalam pada itu, pihak telah melakukan beberapa kolaboratif dengan institusi yang lain untuk menghasilkan kamus yang sesuai untuk dijadikan rujukan oleh para murid sebagai medium pemerolehan maklumat untuk tujuan pengetahuan. Perkara tersebut adalah penting untuk membolehkan murid mengetahui makna perkataan yang melibatkan laras bahasa yang bersifat akademik. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia juga turut menyumbang ke arah perkembangan bidang perkamusan di negara ini menerusi beberapa perkongsian pintar dengan beberapa institusi yang lain. Perkongsian tersebut secara tidak langsung memberi sumbangan besar dalam penghasilan kamus untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Dalam memperkembang bidang perkamusan di negara ini, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah bekerjasama dengan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menghasilkan pelbagai jenis kamus untuk tujuan sebagai bahan rujukan bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan adanya kamus tersebut, para murid mengetahui beberapa konsep dalam kandungan mata pelajaran yang dipelajari. Hal ini demikian kerana, beberapa mata pelajaran dalam bidang sains tulen, sains sosial dan sains teknikal mengandungi beberapa istilah-istilah khusus. Dengan adanya kamus tersebut, para murid dapat mengetahui makna denotatif bagi setiap istilah-istilah tersebut. Sebagai contoh, kolaboratif antara pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Dewan Bahasa dan Pustaka telah berjaya menghasilkan kamus untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran seperti Kamus Biologi KBSM, Kamus Fizik KBSM, Kamus Kimia KBSM, Kamus Perubatan dan Kamus Ekonomi. Kamus-kamus tersebut mengandungi pelbagai istilah-istilah akademik beserta makna leksikal bagi setiap istilah tersebut. Kerjasama antara pihak pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Dewan Bahasa dan Pustaka menyumbang ke arah penghasilan kamus yang khusus dalam bidang-bidang tertentu. Data-data dalam kamus tersebut juga telah dikemaskini dan dimuat naik dalam laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu yang telah dilancarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Intihanya, kerjasama antara pihak Kementerian Pendidikan Malaysi dengan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah mewujudkan kamus-kamus berdasarkan bidang tertentu. Perkara tersebut sudah tentu menyumbang ke arah perkembangan bidang perkamusan menerusi kemasukan entri-entri baharu berdasarkan bidang-bidang tertentu.                

Pengajaran dan pembelajaran bahasa ketiga di beberapa buah sekolah tertentu menuntut penghasilan kamus dwibahasa. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2003), pengajaran bahasa tambahan di sekolah tersebut adalah bertujuan untuk meningkatkan kemahiran komunikasi menggunakan pelbagai bahasa dalam kalangan murid. Dalam hal ini, hanya sekolah beraliran khusus sahaja yang menyediakan pengajaran dan pembelajaran bahasa tambahan tertentu. Misalnya, bahasa Arab merupakan bahasa ketiga yang dipelajari di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama. Manakala, bagi Sekolah Berasrama Penuh, mata pelajaran ketiga yang diajarkan ialah bahasa Arab, bahasa Cina, bahasa Perancis, bahasa Jepun dan bahasa Rusia. Terdapat juga beberapa buah sekolah yang menawarkan pengajaran dan pembelajaran bahasa ibunda seperti bahasa Iban, bahasa Kadazandusun serta bahasa Semai. Dalam hal ini, pengajaran bahasa tambahan tersebut memerlukan kamus dwibahasa untuk membolehkan para murid mengetahui maksud setiap perkataan dalam bahasa tersebut. Oleh yang demikian, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Dewan Bahasa dan Pustaka telah bekerjasama untuk menghasilkan kamus dwibahasa bagi menyediakan sumber rujukan untuk para murid. Contohnya, beberapa buah kamus aneka bahasa yang telah diterbitkan hasil daripada kolaboratif tersebut iaitu Kamus Bahasa Melayu-Perancis, Kamus Bahasa Melayu-Arab, Kamus Bahasa Melayu-Cina, Kamus Bahasa Melayu-Tamil dan sebagainya. Deduksinya, langkah yang diambil oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka ini turut memperkembangkan bidang perkamusan di Malaysia agar bahasa Melayu dapat mentakrifkan konsep-konsep dalam bahasa yang lain. Perkara tersebut adalah penting untuk tujuan rujukan pada masa yang akan datang.

Selain daripada kerjasama dengan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia juga turut melakukan kolaboratif dengan badan swasta iaitu Sasbadi Sendirian Berhad untuk memperkembang bidang perkamusan di negara ini. Menerusi kolaboratif tersebut, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan pihak Sasbadi Sendirian Berhad telah Berjaya menerbitkan sebuah kamus elektronik yang dikenali sebagai Eleksis Pro. Kamus elektronik tersebut merupakan sebuah instrument mini berteknologi tinggi yang memuatkan 12 kamus tesaurus dan glosari yang berautoriti serta dilengkapi oleh beberapa fungsi teknologi yang lain seperti port/link USB, MP3, SD Kad Mikro, Radio FM, Kalkulator, dan sebagainya. Penghasilan kamus elektronik tersebut adalah bertujuan untuk memudahkan murid atau pengguna bahasa Melayu membuat rujukan. Hal ini demikian kerana, kandungan kamus tersebut boleh diakses secara luar talian. Penciptaan kamus ini adalah bertepatan dengan keperluan semasa bidang perkamusan yang menuntut penggunaan kamus secara digital. Antara kamus-kamus yang terkandung dalam Eleksis Pro ialah Kamus Dewan, Kamus Inggeris Melayu-Dewan, Oxford Compact Advanced Learner’s (English-Malay) Dictionary, Kamus Peribahasa Kontemporari, Science and Glossary for Mathematics, Kamus Masyarakat, Kamus Bahasa Cina dan Kamus Penjodoh Bilangan. Konklusinya, Eleksis Pro yang terhasil daripada kerjasama antara pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Sasbadi Sendirian Berhad membawa transformasi terhadap bidang perkamusan di negara ini.

Secara holistik, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil beberapa langkah proaktif untuk memastikan bidang perkamusan di negara ini berkembangan dalam konteks pendidikan. Dalam hal ini, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah melakukan kolaboratif dengan institusi-institusi yang lain dalam penghasilan kamus untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Perkara tersebut dapat dilihat menerusi usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memperkembang bidang perkamusan dapat dilihat menerusi kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Hasil daripada kerjasama tersebut, terhasillah beberapa buah kamus untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Relevan dengan keperluan semasa yang ingin mengintegrasikan teknologi maklumat dan komunikasi dalam konteks perkamusan, pihak  Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah melakukan kolaboratif dengan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menghasilkan kamus elektronik yang dikenali sebagai Eleksis Pro. Ringkasnya, kerjasama antara pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dengan beberapa badan yang lain membawa kepada kemunculan kamus elektronik yang bersifat fleksibel.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran