Perbilangan

 Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin dan Nadsri bin Kadir

Menurut Aripin Said (1996), perbilangan ialah gundalan adat, iaitu ikatan puisi yang menyatakan adat lembaga atau asal usul adat lembaga khususnya terdapat dalam kalangan mereka yang memakai Adat Pepatih. Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera yang diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang. Adat ini ialah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau.  Secara ringkasnya, perbilangan merupakan susunan adat dalam bentuk puisi yang menceritakan dan menerangkan tentang sesuatu perkara berkaitan adat atau peraturan. Perbilangan berasal dan berkembang di daerah Minangkabau dan Palembang yang dikenali sebagai Adat Minangkabau.

Di Malaysia, perbilangan banyak diamalkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan, iaitu digunakan dalam Adat Pepatih. Perbilangan diperturunkan daripada mulut ke mulut dan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Sapinah Said (2013) menyatakan perbilangan adat diperturunkan daripada satu generasi ke satu generasi melalui ketua-ketua adat lembaga yang disebut Buapak. Adat Perpatih ini diwariskan melalui kata-kata perbilangan yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat seperti harta pusaka, pelantikan pemimpin, hukum kahwin, amalan bermasyarakat, sistem hukuman pelanggaran adat dan banyak lagi. Setiap peraturan atau adat mempunyai perbilangannya yang tersendiri dan setiap peraturan tersebut mempunyai rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat tersebut.

Namun demikian, perbilangan mengalami perubahan dan kesesuaian mengikut situasi dan peredaran zaman. Sebagai contoh, pada zaman kedatangan Islam, perbilangan mengalami penyesuaian dengan ajaran Islam. Menurut Za’ba dalam Aripin Said (1996), perbilangan adat merupakan puisi melarat yang tidak tetap timbangan suku kata dan rimanya. Namun, perbilangan adat tersebut tetap mempunyai susunan, makna yang kemas dan mendalam. Abdullah Hassan (2005) pula menyatakan bahawa perbilangan adat adalah sejenis puisi yang tidak tentu bentuknya sama seperti gurindam dan seloka. Berdasarkan pernyataan tersebut, Zulkefley Hamid (2005) telah menyimpulkan ciri-ciri yang terdapat dalam perbilangan adat seperti yang berikut:

Puisi bebas yang tidak tentu jumlah baris, rangkap, rima atau jumlah perkataan dalam satu baris.

Terdapat sisipan pelbagai puisi lain seperti pantun, gurindam, peribahasa dan lain-lain.

Isinya memuatkan perkara-perkara yang berkaitan dengan undang-undang dan adat istiadat yang diamalkan oleh sesuatu kelompok masyarakat.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran