Konsep Peribahasa

 Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Menurut Za’ba dalam Seri Lanang Jaya Johari dan Dahlia Janan (2013), peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, indah didengar dan bijak perkataannya. Berdasarkan pernyataan tersebut, peribahasa merujuk kepada ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan tetap dan mengandungi pengertian tertentu. Menurut Abdullah Hassan et al. (2005), peribahasa mempunyai kata-kata yang bertujuan menyampaikan sesuatu perkara secara halus untuk pedoman hidup sebagai kiasan, teladan dan pengajaran.

Secara umumnya, peribahasa merupakan sebahagian daripada khazanah sastera orang Melayu yang tergolong dalam sastera rakyat iaitu lisan. Keindahan dan kebijaksanaan yang terdapat dalam peribahasa membuatkannya masih kekal relevan sehingga kini.  Walau bagaimanapun, pencipta peribahasa masih tidak diketahui sehingga kini. Hal ini demikian kerana, masyarakat Melayu pada zaman dahulu tidak mementingkan individu yang mencipta sesuatu karya sebaliknya sesuatu karya yang telah dihasilkan akan menjadi hak milik kekal masyarakat itu sendiri (Husin Fateh Din dan Nazariyah Sani, 2014). Menurut Za’ba, penerbitan ungkapan sesuatu peribahasa berasal daripada seseorang individu atau sekumpulan manusia. Bentuknya ringkas, tepat dengan maksud yang hendak dicapai, mengandungi kebenaran dan terbit daripada pengalaman sendiri atau yang telah diperhatikan berlaku pada orang lain. Kemudian, apabila bentuk itu digemari oleh orang lain, mereka pula menggunakannya secara berulang-ulang sehingga tersebar kepada segenap kelompok masyarakat. Akhirnya, peribahasa menjadi terkenal dan diwarisi secara turun-temurun. Dalam konteks bahasa Melayu, peribahasa dapat diklasifikasikan kepada lima jenis iaitu simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan dan pepatah dan perbilangan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran