Jenis-jenis Kamus

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin dan Nadsri bin Kadir

Menurut Khairuddin Mohamad et al. (2014), terdapat beberapa jenis kamus dalam bahasa Melayu seperti yang berikut:

Kamus Ekabahasa

Kamus ekabahasa dikenali juga dengan nama kamus monolingual dan bahannya dalam satu bahasa sahaja. Entri disusun menurut abjad dan bentuk dasar kata dijadikan entri kamus manakala bentuk peluasannya dicatat sebagai subentri, yang dalam kamus dicetak dalam huraian satu entri dasar yang sama. Makna yang dihuraikan berbentuk pemerian yang panjang dan mungkin kompleks untuk mencapai maksud sejelas-jelasnya. Takrifan makna ke atas kata-kata berdasarkan makna yang diberikan dalam contoh ayat yang mengandungi kata-kata berkenaan. Pendekatan ini menggunakan pembuktian data korpus. Sinonim juga digunakan sebagai unsur pilihan tambahan kepada pemerian makna. Contoh bagi kamus ekabahasa ialah Kamus Dewan.

Kamus Dwibahasa

Kamus dwibahasa dikenali juga dengan nama kamus bilingual yang menggunakan dua bahasa dan bertujuan untuk mendapatkan bentuk terjemahan daripada satu bahasa kepada satu bahasa yang lain atau dalam teks bukan bahasa asli pengguna, atau kedua-dua bukan dalam bahasa asli. Entri disusun dinamakan bahasa sumber yang bentuk padanannya ditentukan setelah diterjemahkan ke dalam bahasa sasaran. Contoh bagi kamus bilingual ialah Kamus Dwibahasa Oxford Fajar (Inggeris-Melayu, Melayu-Inggeris).

Kamus Aneka Bahasa

Kamus aneka bahasa dikenali juga dengan nama kamus multibahasa yang menggunakan sekurang-kurangnya tiga bahasa atau lebih. Contoh bagi kamus multilingual ialah Kamus Melayu-Cina-Inggeris susunan Yuen Boon Chan pada tahun 2004.

Kamus Ensiklopedia

Kamus besar yang memuatkan leksikal, keterangan atau maklumat ekstralinguistik disusun mengikut urutan kata-kata atau satuan leksikal sebagai acuan bahagian daripada dunia ekstralinguistik. Kamus ini mempunyai persamaan dengan kamus ekabahasa dari segi urutan kata. Hartmann dalam Noresah Baharom (2009) mendefinisikan kamus ensiklopedia sebagai a comprehensive summary of knowledge in a given field or branch of science.

Kamus Etimologi

Kamus yang menumpukan perhatian kepada asal-usul kata dalam tradisi tekstual. Kamus ini menerangkan asal usul perkataan dan makna asalnya. Kamus etimologi yang besar cenderung menjadi kamus komparatif.

Kamus Diakronik

Kamus ini menumpukan kepada aspek pensejarahan. Dalam huraian entri, satuan leksikal diperlihatkan aspek perkembangannya sama ada bentuk atau makna diberikan perhatian dalam huraian kata.

Kamus Sinkronik

Kamus ini disusun bertujuan untuk menggarap penyediaan leksikal pada sesuatu bahasa pada masa tertentu atau pada satu tahap perkembangan yang singkat atau sezaman.

Kamus Umum

Kamus umum memuatkan segala kata dalam sesuatu bahasa disertakan dengan maknannya. Ia merangkumi semua kata dengan segala kemungkinan dari segi makna yang digunakan dalam sesuatu bahasa.

Kamus Istilah

Kamus ini memuatkan istilah khusus mengikut bidang ilmu pengetahuan tertentu sahaja. Fungsinya adalah untuk kegunaan ilmiah. Kamus ini memuatkan entri istilah khusus diikuti dengan pemerian makna atau definisi dan keterangan tambahan termasuk ilustrasi dan gambar rajah.

Kamus Sinonim

Kamus yang memuatkan bentuk padanan yang mempunyai makna yang hampirhampir sama, atau pada istilah yang mempunyai hubungan semantik. Kadangkala padanan antonim dimasukkan sebagai unsur bantuan untuk makna sinonim yang pertentangannya perlu untuk mendapatkan makna yang jelas dan nyata serta jelas sebagaimana yang digunakan dalam bahasa.

Kamus Tesaurus

Kamus yang menerangkan maksud sesuatu perkataan dengan memberikan kata-kata seerti sahaja. Kamus adalah untuk membantu penulis mempelbagaikan penggunaan diksi. Tesaurus memusatkan perhatian kepada kata-kata yang berhubungan secara semantik dalam kelompok yang tersusun secara onomasiologi dan struktur nosional

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran