Variasi dalam Perkamusan

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin dan Nadsri bin Kadir

Variasi bermaksud penyimpangan atau sesuatu yang menyimpang daripada kelaziman, standard atau kebiasaan seperti sifat, ciri-ciri dan sebagainya. Terdapat dua jenis variasi yang wujud dalam kamus yang baik, iaitu variasi kata dan variasi ejaan (Khairuddin Mohamad et al., 2014).

Variasi Kata

Variasi kata dalam kamus perlu terutamanya untuk kepentingan kajian bahasa. Di samping itu, terdapat juga kemungkinan bahawa seseorang pengguna bahasa Melayu yang menemui sesuatu variasi kata dan tidak dapat mengenal pasti bentuk standardnya akan mendapat faedah daripada rujuk silang yang diberikan dalam kamus. Menurut Khairuddin Mohamad et al. (2014), apa yang berlaku ialah kewujudan variasi kata terhasil daripada kegagalan menyebut sesuatu perkataan itu dengan betul akibat gejala “pelat” dan sebagainya. Contohnya, perkataan ‘khanduri’ bentuk standardnya ialah kenduri, ‘lafal’ bentuk standardnya lafaz dan ‘petenah’ bentuk standardnya ialah fitnah. Kata-kata seumpama ini tidak lagi dimuatkan dalam kamus-kamus cetakan baharu.

Variasi Ejaan

Variasi ejaan bagi beberapa perkataan tertentu dimuatkan dalam kamus sebagai rujukan silang. Hal ini dilakukan dengan meletakkan tanda anak panah ke kanan, yang bermaksud menjemput pengguna kamus untuk merujuk kepada bentuk dan ejaan yang standard, semata-mata untuk memberi kemudahan kepada pengguna yang mungkin masih berasa was-was terhadap bentuk atau ejaan yang standard. Justeru itu, kemasukan variasi demikian dibataskan kepada bentuk kata yang tertentu sahaja.

Semua perkataan yang termasuk dalam kategori ejaan lama tidak lagi dimuatkan dalam kamus ejaan baru kerana bimbang akan menimbulkan kesulitan (Khairuddin Mohamad et al., 2014). Ini termasuklah perkataan lama yang terlibat dengan peraturan keselarasan vokal pada suku kata praakhir dan suku kata akhir tertutup (balek-balik, langsong-langsung dan sebagainya). Seterusnya, perkataan lama yang terlibat dengan peraturan berkaitan penggunaan gugus konsonan untuk mengeja perkataan asing yang tertentu seperti “keritik” menjadi kritik, “sekerip” menjadi skrip dan sebagainya. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran