Contoh Penulisan Laporan Program Transformasi Minda (PTM)

LAPORAN SLOT PROGRAM TRANSFORMASI MINDA (PTM)

IPG KAMPUS TAWAU SIRI 4

 

Nama Slot

:

Slot 3

Topik Segmen II (Bahagian 1)

Tanggungjawab dan Peranan Pegawai

Penceramah

:

Puan Fazura binti Othman

Tarikh / Hari

:

15 Jun 2021 (Selasa)

Masa

:

08:30 am - 10:30 am

Kumpulan Bertugas

:

Kumpulan 2 (Alder)

Mohd Naim bin Mat Saad (Ketua/Bacaan Doa)

Mohd Syariz Hakim bin Razali (Pengerusi Majlis)

Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin (Pencatat)

Mohd. Misyuari bin Maning (Fasilitator 1)

Mohd. Zakwan bin Salleh (Fasilitator 2)

Muhammad Azri bin Rosman (Fasilitator 3)

Mohd Syawal bin Charo (AJK)

Mohd Noor Afiq bin Abdul Raof (AJK)

Muhamaad Sabfil bin Sabri (AJK)

Muhammad Asyraf bin Norli (AJK)

 

 

Laporan Aktiviti:

Aktiviti dalam Slot 3 bermula dengan kehadiran para urus setia, para peserta, para pemantau dan seterusnya penceramah. Setelah itu, slot diteruskan lagi dengan nyanyian Lagu Negaraku dan lagu Sabah Tanah Airku. Sebaik sahaja nyanyian lagu tersebut selesai, wakil kumpulan bertugas iaitu Mohd Naim bin Mat Saad memimpin bacaan doa. Pada pukul 08:45 pagi, sesi ceramah untuk Slot 3 telah bermula. Slot 3 yang disampaikan oleh Puan Fazura binti Othman (Ketua Unit Khidmat Pengurusan IPGK Tawau) memberi fokus terhadap tanggungjawab dan peranan pegawai. Sepanjang slot tersebut berlangsung, penceramah telah mengimplementasikan pendekatan yang amat menarik untuk membolehkan para peserta memahami perkara penting dalam slot tersebut.

 

Pada permulaan, peserta diberi pendedahan berkenaan dengan overview perkhidmatan awam. Dalam subtopik ini, para peserta diberi pengetahuan berkenaan dengan definisi dan peranan perkhidmatan awam. Secara amnya, perkhidmatan awam merujuk kepada jentera pentadbiran atau kuasa eksekutif dalam melaksanakan dasar-dasar dan keputusan kerajaan bagi mencapai segala objektif dan matlamat negara. Peranan perkhidmatan awam pula ialah merupakan institusi utama masyarakat dan negara, perkhidmatan kepada raja, kerajaan dan masyarakat serta menjalankan hak dan kuasa. Turut didedahkan oleh penceramah adalah kedudukan perkhidmatan awam dalam perlembagaan persekutuan, suruhanjaya perkhidmatan dan skim perkhidmatan. Konklusinya, pegawai perkhidmatan pendidikan yang juga merupakan sebahagian daripada entiti perkhidmatan awam seharusnya mengetahui overview perkhidmatan awam di  negara Malaysia.

 

Sebaik sahaja subtopik overview perkhidmatan awam selesai, penceramah menerangkan berkenaan dengan subtopik pengenalan kepada organisasi. Dalam subtopik ini, para peserta diberi penerangan berkenaan dengan organisasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Antara perkara yang didedahkan ialah visi dan misi, anggota pentadbiran, pengurusan tertinggi, carta organisasi KPM dan juga statistik berkaitan dengan KPM seperti bilangan institusi di bawah KPM, enrolmen kakitangan dan sebagainya. Dalam pada itu, para peserta juga didedahkan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang bertujuan untuk meningkatkan taraf pendidikan di Malaysia setanding dengan pendidikan para peringkat antarabangsa. Penceramah juga mendedahkan perkara-perkara yang terkandung dalam PPPM 2013-2025 iaitu objektif, aspirasi sistem, aspirasi murid dan anjakan utama untuk mentransformasikan sistem pendidikan. Turut disentuh adalah prestasi Malaysia dalam pentaksiran antarabangsa iaitu Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) yang menunjukkan peningkatan dari segi kedudukan. Intihanya, subtopik ini memberi pengetahuan kepada para peserta berkenaan dengan organisasi KPM, visi dan misi. Perkara yang penting dalam slot ini ialah pemahaman para peserta PPPM 2013-2025 dapat dipertingkat. Tuntasnya, pegawai perkhidmatan pendidikan seharusnya mengetahui matlamat KPM seterusnya merealisasikan matlamat tersebut ke arah peningkatan sistem pendidikan negara.

 

Subtopik terakhir yang disampaikan oleh penceramah ialah laluan kerjaya dalam perkhidmatan awam. Perkara pertama yang disampaikan dalam subtopik ini ialah latihan dalam perkhidmatan. Dalam hal ini, terdapat lima jenis latihan dalam perkhidmatan iaitu kursus 7 hari, kursus jangka pendek, kursus jangka sederhana, kursus jangka panjang dan kursus sambilan. Latihan dalam perkhidmatan ini mempunyai beberapa tujuan iaitu menyediakan anggota yang berkebolehan dan berkeupayaan untuk melaksanakan tugas dengan cepat, meningkatkan kemahiran sedia ada anggota dan untuk mendedahkan kemahiran baru kepada anggota.Setiap kursus ini dibezakan mengikut tempoh masa pelaksanaan atau penyertaan. Seterusnya, para peserta diberi penerangan berkenaan dengan.kenaikan pangkat laluan hakiki dan kenaikan laluan KUP. Kenaikan pangkat laluan hakiki merujuk kepada kenaikan pangkat seseorang dari suatu gred jawatan yang rendah ke suatu gred jawatan yang lebih tinggi dalam skim perkhidmatan yang sama tertakluk kepada wujudnya kekosongan jawatan kenaikan pangkat tersebut, manakala kenaikan pangkat laluan KUP pula merujuk kepada Kenaikan pangkat dari suatu gred yang rendah kepada suatu gred yang lebih tinggi yang   mana   berasaskan   tempoh masa perkhidmatan seseorang itu berada di dalam sesuatu gred yang rendah sebelum dipertimbangkan untuk dinaikkan pangkat ke gred yang lebih tinggi. Setelah itu, para peserta diberi pendedahan berkenaan dengan peluang melanjutkan pelajaran menerusi Hadiah Latihan Persekutuan (HLP). Deduksinya, pegawai perkhidmatan pendidikan seharusnya melaksanakan latihan dalam perkhidmatan untuk meningkatkan kompetensi diri sejajar dengan keperluan semasa dunia pendidikan pada masa ini.

 

Slot 3 diakhiri dengan sesi soal jawab antara para peserta dengan penceramah. Antara soalan yang ditanya ialah berkaitan dengan penukaran skim perkhidmatan kepada gred yang lain. Selain itu, terdapat juga soalan berkenaan dengan perbezaan antara guru interim (DC41) dan guru interim (DG41 Contract of Service). Soalan terakhir yang dikemukakan adalah berkenaan dengan permohonan HLP dan kriteria-kriteria untuk mendapat tawaran HLP,

 

 

Kekuatan:

Kumpulan bertugas menunjukkan komitmen yang tinggi dalam mengendalikan slot tersebut.

Tidak terdapat masalah teknikal terutama audio nyanyian lagu sepanjang slot berlangsung kerana kumpulan bertugas telah melakukan pengujian terlebih dahulu.

Semua peserta PTM melibatkan diri secara aktif ketika slot berlangsung

 

 

Kelemahan:

Sesetengah peserta menghadapi masalah rangkaian internet.

Pengurusan masa agak kurang baik kerana slot tidak dapat ditamatkan mengikut perancangan.

 

Cadangan Penambahbaikan:

Meminta para peserta bersedia dengan lebih awal atau memaklumkan kepada urus setia berkenaan dengan masalah rangkaian yang dihadapi.

Membuat perancangan teliti untuk memastikan pengurusan masa dalam keadaan yang baik.

 

 

 

Laporan Disediakan oleh:

Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

(Pencatat Slot 3)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran