Pepatah

 Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin dan Nadsri bin Kadir

Pepatah adalah tergolong dalam peribahasa yang bererti selapis dan mempunyai sifat yang bernas, iaitu mengutamakan sifat minimalis dan bijak susunan katanya. Ungkapan pepatah berasal daripada patah-patah perkataan. Pepatah hampir sama dengan bidalan, namun kedua-duanya adalah berbeza kerana bidalan tetap mengandungi pengajaran dan nasihat. Sebaliknya ada pepatah yang tidak mengandungi pengajaran. Pepatah atau perbilangan ialah ungkapan-ungkapan yang berasal-usul daripada pusaka adat resam. Pepatah atau perbilangan berfungsi sebagai pedoman masyarakat yang mengamalkan adat resam. Antara contoh pepatah ialah indah khabar dari rupa, ukur baju di badan sendiri dan air beriak tanda tak dalam.

Abdullah Yusof (2009) menyatakan pepatah ialah susunan bahasa yang indah untuk dihayati dan mempunyai konsep yang bermaksud patah-patah perkataan yang disusun untuk mematahkan kata-kata orang yang bertutur. Makna pepatah jelas pada ungkapan yang dinyatakan kerana pepatah menyatakan sesuatu secara terus-terang dan tidak semestinya mengandungi pengajaran. Dalam konteks masyarakat Melayu tradisonal, pepatah sering digunakan sebagai medium untuk menyampaikan pengajaran, penegasan dan panduan hidup khususnya. Pepatah juga seakan-akan sama dengan bidalan tetapi Perbezaannya ialah pepatah mempunyai rangkaian perkataan berkerat-kerat atau berpatah-patah. Pepatah kebiasaannya berkait dengan adat istiadat, undang-undang dan peraturan. Asad Mohamed (2015) menyatakan bahawa terdapat empat ciri bagi peribahasa jenis pepatah. Ciri-ciri adalah seperti yang berikut:

Pepatah menggunakan ayat singkat dan memiliki makna kiasan yang bertujuan untuk mengkritik atau menyindir.

Pengungkapan fikiran dan perasaan tidak dinyatakan secara langsung tetapi dengan sindiran, ibarat dan perbandingan.

Pada umumnya, pepatah mengandungi nasihat daripada seseorang kepada orang lain.

Pepatah tidak terikat oleh syarat-syarat mutlak seperti jumlah baris, jumlah suku kata serta irama seperti yang terdapat pada pantun dan puisi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran