Sebutan dalam Perkamusan
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin dan Nadsri bin Kadir
Sebutan merupakan satu kaedah menerang yang disediakan dalam kamus, iaitu bagaimana cara mengujarkan sesuatu kata atau ungkapan. Dalam erti kata lain, cara membunyikan perkataan turut disediakan dalam kamus yang baik. Selain menerangkan maksud kata, kamus juga mungkin mempunyai panduan sebutan tetapi bukanlah sesuatu yang dimestikan. Ini boleh berlaku dalam dua jenis kamus iaitu kamus bercetak dan kamus elektronik. Panduan sebutan bertutur disediakan khusus untuk memudahkan penggunaannya. Dalam konteks ini, kamus tersebut sesuai digunakan oleh semua peringkat masyarakat, murid-murid mahupun golongan profesional.
Menurut Awang Sariyan (2004), sebutan baku di Malaysia telah ditetapkan dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kali Ke-3 (1956) yang memutuskan bahawa sebutan baku ialah sebutan fonemik (berdasarkan ejaan) bukan berdasarkan kelaziman sebutan menurut dialek Riau-Johor.
Awang Sariyan (1988) menyatakan bahawa ahli-ahli bahasa telah bersependapat tentang dasar sebutan baku Bahasa Melayu iaitu sebutan bagi kata bahasa Melayu hendaklah berdasarkan sebutan fonemik atau sebutan berdasarkan ejaan. Perkara ini adalah bertepatan dengan keterangan K.L pike dalam bukunya Phonemics (1943) iaitu kata-kata dieja sebagaimana diucapkan dan diucapkan sebagaimana dieja, dan tidak ada huruf yang senyap. Garis panduan dasar umum tentang sebutan baku bahasa Melayu adalah sebutan huruf, sebutan kata dan intonasi.
Sebutan Huruf
Pada umumnya, setiap huruf dalam ejaan Rumi atau Jawi perlulah dilafazkan dengan jelas mengikut nilai bunyi bahasa Melayu yang dilambangkan.
Sebutan Kata
Sebutan kata hendaklah berdasarkan ejaan secara keseluruhan dan juga berdasarkan bentuk kata (pola pada suku kata) sama ada kata dasar atau kata terbitan.
Intonasi
Intonasi ialah nada suara yang turun naik atau tinggi rendah sewaktu bercakap dan hendaklah berdasarkan jenis dan bentuk ayat atau kalimat dalam Bahasa Melayu serta keperihalan keadaan yang berkenaan.
Dikenali dan digayakan dengan empat tingkat nada yang biasa ditandai dengan angka 1, 2, 3, dan 4. Angka 1 (nada paling rendah), angka 2 (nada memulakan ujaran), angka 3 (nada tekanan), dan angka 4 (nada paling tinggi). Vokal [a] dilafazkan dengan (a) pada bahagian mana pun ia terletak sama ada terbuka, tertutup, di tengah atau di akhir kata. Ini bermakna vokal [a] disebut seperti mana dieja dan dieja seperti mana dilafaz. Jadual di bawah menunjukkan contoh sebutan.
Ejaan | Sebutan |
Muhammad Hatta | [mu. ham. mad hat. ta] |
James Bond | [jéms bõnd] |
Nelson Mandela | [nel.sen man. dé.la] |
Ulasan
Catat Ulasan