Simpulan Bahasa

 Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin dan Nadsri bin Kadir

Simpulan bahasa merupakan bentuk peribahasa yang mudah. Menurut Menurut Abdullah Hussain (2003), simpulan bahasa merupakan salah satu peribahasa yang kebiasaannya terdiri daripada dua patah perkataan sahaja yang membawa maksud yang tepat dan padat. Pengimplimentasian simpulan bahasa yang tepat amat digalakkan terutamanya dalam penulisan. Hal ini demikian kerana sesuatu hasil penulisan yang memuatkan simpulan bahasa akan menjadikannya lebih menarik dan luas dari segi gaya bahasanya. Simpulan bahasa dapat digunakan untuk menggambarkan ciri-ciri, sikap atau tabiat seseorang. Simpulan bahasa adalah gabungan dua perkataan biasa yang digunakan oleh orang-orang Melayu pada zaman dahulu untuk menggambarkan sifat-sifat, tingkah laku, situasi dan perangai spontan manusia dalam menjalani kehidupan harian mereka. Dalam konteks masyarakat Melayu tradisional, simpulan bahasa digunakan sebagai medium untuk menggambarkan sifat-sifat, tingkah laku, situasi dan perangai spontan manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Simpulan bahasa juga menjadi medium yang sangat penting dalam menyampaikan hasrat yang bermaksud baik atau sebaliknya. Makna simpulan bahasa adalah bersifat konotatif iaitu mempunyai makna yang berlainan daripada makna leksikal perkataan yang membentuk simpulan bahasa tersebut.

Penghasilan simpulan bahasa adalah berdasarkan kepada empat aspek. Aspek-aspek tersebut adalah seperti yang berikut:

Aspek-aspek penghasilan simpulan bahasa

Contoh

Perbandingan atau kiasan dengan cerita masyur

Abu Jahal, Mat Jenin dan Lebai Malang

Benda atau kejadian yang berlaku di sekeliling

mandi kerbau, mata duitan dan kutu embun

Kepercayaan orang ramai

harimau berantai, buruk siku dan dimakan bulan

Resaman bahasa

ada hati, gila bahasa dan beri muka

 

Secara amnya, terdapat sembilan ciri simpulan bahasa dalam bahasa Melayu. Ciri-ciri tersebut dapat dilihat menerusi jadual di bawah,

Ciri-ciri Simpulan Bahasa

Huraian

Terbentuk daripada penggunaan kata nama am

Ø Contohnya: anak buah, buah tangan, dan lipas kudung.

Ø Anak, buah, dan lipas kudung masing-masingnya sebagai kata nama am.

Terbentuk daripada penggunaan kata kerja

Ø Contohnya: ajak-ajak ayam, buat bodoh, dan pasang telinga.

Ø Ajak, buat, dan pasang masing-masingnya sebagai kata kerja.

 

Terbentuk daripada penggunaan kata adjektif

Ø Contohnya: besar kepala, bodoh sepat, dan kecil hati.

Ø Besar, bodoh, dan kecil masing-masingnya sebagai kata adjektif.

Terbentuk daripada penggunaan kata nama khas

Ø Contohnya: Abu Jahal, Mat Jenin, dan Pak Kaduk.

Ø Semua perkataan tersebut terdiri daripada kata nama khas.

Terbentuk daripada nilai kepercayaan

Ø Contohnya: air pinang, batu buyung, dan makan bulan.

Ø Semua perkataan ini berkait rapat dengan kepercayaan orang Melayu.

Simpulan Bahasa yang berkaitan dengan tubuh badan

Ø Contohnya: gigi air, kepala santan, Hati batu, kecil hati, Kaki judi, ringan kepala, Lidah bercabang, telinga kuali, mata keranjang, dan anak mata.

Ø Lihat contoh, hati batu bermakna seseorang yang degil dan tidak mahu mendengar kata.

Simpulan bahasa yang berkaitan dengan haiwan

Ø Contohnya: saudara anjing, akal kancil, ajak-ajak ayam, biawak hidup, buaya darat, darah ikan dan sebagainya.

Ø Lihat contoh, akal kancil menggambarkan seseorang yang sangat pandai.

Simpulan bahasa yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan

Ø Contohnya: durian runtuh, delima merekah, sirih kuning, diam ubi, tangkai jering dan sebagainya.

Ø Lihat contoh, tangkai jering memberi gambaran seseorang yang sangat kedekut.

Simpulan bahasa yang tidak termasuk dalam mana-mana kategori

Ø Contohnya: jadi abu, cincin tanda, hujan panas, putih mata, serkap jarang, kurang ajar, buah mulut, buku lima dan lain-lain lagi.

Ø Lihat contoh, buah mulut bermaksud sesuatu yang menjadi percakapan orang lain.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran