Drama dalam Pendidikan
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Menurut Adenan
Ayob dan Khairuddin Mohamad (2012), seni drama merupakan salah satu kaedah
pembelajaran yang boleh diaplikasikan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran
di bilik darjah. Kanak-kanak belajar mengenal diri dan masyarakat menerusi
drama. Hal ini demikiian kerana, elemen asas yang terdapat dalam mencerminkan
kehidupan individu serta masyarakat. Menerusi aktiviti drama, murid-murid dapat
dibimbing berkomunikasi secara bersuara atau tanpa suara dengan lebih efektif.
Mereka juga boleh dilatih dalam aspek penggunaan laras bahasa mengikut konteks
dan situasi yang sesuai menerusi aktiviti simulasi, main peranan dan
improvisasi. Pembelajaran melalui drama akan menjadikan pembelajaran
murid-murid lebih bermakna dan berlangsung dalam keadaan yang menyeronokkan.
Drama merupakan salah satu elemen yang
merentas kurikulum kerana boleh diaplikasikan sebagai pendekatan atau teknik
pengajaran dan pembelajaran dalam semua mata pelajaran khususnya Bahasa
Malaysia Sekolah Rendah. Menurut Farizah Nazir et al. (2015), aktiviti drama
yang dilaksanakan di bilik darjah dapat menggalakkan interaksi dan kemahiran
berkomunikasi secara berkesan serta tepat seperti nama yang ditekankan dalam
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Malaysia Sekolah Rendah. Sama
seperti karya kesusasteraan yang lain, drama sebagai teks, berperanan sebagai
medium penyebaran ilmu pengetahuan dan menjadi sumber rujukan budaya masyarakat
yang digambarkan. Guru boleh membimbing murid menghayati kandungan teks atau
skrip melalui pembacaan dan perbincangan berkenaan dengan skrip yang dibaca. Murid-murid
dapat memahami perihal manusia dan ragamnya serta memahami perilaku manusia dan
sosiobudaya masyarakat melalui watak-wataj yang terdapat dalam skrip tersebut.
Dalam pengajaran dan pembelajaran Guru
boleh membawa pelajar meneroka pemikiran yang lebih luas dan mendalam tentang
tema dan aspek-aspek lain yang terdapat dalam skrip drama melalui pendekatan
atau kaedah yang sesuai (Amir Juhari, 2015). Penghayatan skrip juga boleh
dilaksanakan dengan aktiviti drama pembaca atau pementasan drama. Selain itu,
skrip juga boleh distrukturkan mengikut mata pelajaran tertentu. Contohnya,
untuk mengajarkan sejarah, guru boleh memilih skrip yang menterjemahkan kisah
sejarah yang dipelajari atau membinanya sendiri bersama murid dengan
mengaplikasikan teknik improvisasi atau simulasi.
Melalui
plot atau konflik yang dikemukakan dalam skrip, guru boleh meminta murid
berbincang bagi memikirkan penyelesaian masalah, andaian atau meramalkan
penyelesaian sesuatu cerita atau peristiwa. Melalui analisis perwatakan pula, guru
boleh meminta pendapat murid tentang perilaku, tindakan dan cara watak
menyelesaikan permasalahan yang ditimbulkan (Lutfi
Abas, 1987). Aktiviti sebegini menggalakkan kemahiran berfikir
kritis dan kreatif, di samping menggalakkan murid memahami permasalahan
masyarakat dan cuba menjadikan persoalan yang terdapat dalam skrip itu sebagai
satu pengajaran yang menambahkan pengalaman mereka tentang erti kehidupan.
Dalam hal ini, secara tidak langsung guru telah dapat menerapkan nilai-nilai
murni dan membentuk peribadi pelajar itu sendiri.
Nor
Hashimah Jalaluddin (2007) menyatakan bahawa penghasilan sebuah drama
kanak-kanak, merupakan satu usaha yang amatbermakna kepada para pelajar.
Peranan drama dalam pendidikan bukan sekadar melatih kefasihan bertutur, kecekapan
berkomunikasi, berfikir dan berketrampilan, malahan melalui aktiviti berdrama,
murid boleh mempertingkatkan potensi diri dalam banyak aspek. Ini termasuklah
aspek perkembangan diri dan sosialnya. Drama merupakan seni persembahanyang
menggabungkan seni lakon dengan plbagai seni lain seperti seni muzik, seni
tari, seni pertukangan, seni bina, seni berbahasa dan seni yang lain.
Oleh yang
demikian, jelaslah bahawa drama merupakan medium yang signifikan dalam konteks
aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Melalui penglibatan dalam aktiviti drama,
murid-murid digalakkan untuk memaksimumkan semua aspek kecerdasan dalam diri
mereka. Perkara tersebut selaras dengan kepelbagaian kecerdasan yang telah
dimasukkan sebagai kemahiran nilai tambah dalam pendidikan. Aktiviti drama juga
merupakan aktiviti yang berpusatkan murid, kerana proses penghasilan drama itu
sendiri pasti melibatkan penyertaan mereka secara aktif. Murid-murid yang
memainkan peranan dalam aktiviti drama akan menerokai pelbagai aspek penting
dalam perkembangan diri mereka.
Konsep
Drama dalam Pendidikan dengan Drama Pendidikan sering kali disalahertikan oleh
masyarakat umum. Apabila menyebut Drama Pendidikan bermakna melatih kanak membicarakan tentang
seni atau aktiviti drama yang diintergrasikan ke dalam pendidikan. Dalam hal
ini, pendidikan bermakna bukan sahaja pemerolehan pengetahuan, tetapi yang
lebih penting ialah proses pembelajaran dan penguasaan kemahiran, ilmu dan
pembentukan sikap pelajar yang terlibat. Melalui pelbagai aktiviti drama,
pelajar yang terlibat dapat mengenal diri mereka lebih jelas, mengenal ruang
dan persekitaran, memahami rakan serta meningkatkan keupayaan mereka dalam
pelbagai aspek. Drama dalam Pendidikan membolehkan kita melatih para pelajar
menajamkan sensitiviti mereka, meningkatkan kefahaman dan amalan terhadap nilai
murni masyarakat dan budaya mereka, mananamkan jati diri bangsa, serta
memperkembangkan daya imaginasi, kreativiti, konsentrasi, yakin diri serta
kemahiran berkomunikasi. Aktiviti drama boleh berfungsi sebagai satu kaedah
terapi yang membantu murid mempunyai masalah emosi dan fizikal. Drama dan drama
juga berperanan membentuk insan yang seimbang dan harmoni dari segi Intelek,
rohani, emosi dan jasmani. Hal ini bertepatan dengan matlamat Falsafah
Pendidikan Negara.
Ulasan
Catat Ulasan