Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Seni Bahasa dan Tatabahasa Bahasa Melayu KSSR
Berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan
Pentaksiran Bahasa Melayu Sekolah Rendah, terdapat beberapa strategi pengajaran
dan pembelajaran yang ditekankan. Strategi pengajaran dan pembelajaran tersebut
adalah relevan dengan keperluan pembelajaran tatabahasa dalam Bahasa Melayu. Pengaplikasian
strategi pembelajaran tersebut adalah penting untuk memastikan proses pengajaran
dan pembelajaran berlangsung dengan lebih efektif.
Strategi pengajaran dan pembelajaran yang
signifikan dengan aspek seni bahasa dan tatabahasa seperti yang telah
ditekankan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Malaysia
Sekolah Rendah ialah prinsip 5P. Prinsip 5P merujuk kepada penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pemulihan dan pengayaan. Menerusi pelaksanaaan prinsip 5P dalam konteks
pengajaran dan pembelajaran aspek seni bahasa dan tatabahasa, murid dapat
meningkatkan penguasaan mereka secara lebih berkesan terhadap konsep tatabahasa
yang dipelajari. Penggabungjalinan yang ditfokuskan oleh prinsip 5P ini dapat
meningkatkan pengetahuan dan kemahiran murid tentang seni bahasa dan tatabahasa
menerusi penggabungjalinan dengan aspek kemahiran bahasa yang lain. Berdasarkan
prinsip penyerapan, pengajaran aspek seni bahasa dan tatabahasa dapat dilaksanakan
secara berkesan kerana membolehkan murid menguasai kemahiran secara
bersepadu menerusi pengalaman pembelajaran bahasa. Dalam pengajaran dan
pembelajaran, aktiviti penilaian adalah perlu untuk mengenal pasti kekuatan dan
kelemahan murid terutamanya dalam aspek seni bahasa dan tatabahasa. Menerusi
penilaian yang dijalankan, guru akan dapat menentukan sama ada murid tersebut
sesuai mengikuti program pemulihan untuk kemahiran asas yang belum dapat
dikuasai ataupun program pengayaan untuk memantapkan kemahiran murid dalam
aspek seni bahasa dan tatabahasa.
Strategi pengajaran dan pembelajaran yang
seterusnya signifikan dengan aspek seni bahasa dan tatabahasa ialah pendekatan
berpusatkan murid. Pelaksanaan pendekatan berpusatkan murid dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu membolehkan murid terlibat secara aktif dalam aktiviti pengajaran
dan pembelajaran. Hal ini turut dipersetujui oleh Noriati A. Rashid et al.
(2009) yang menyatakan bahawa pendekatan berpusatkan murid membolehkan murid
melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di
dalam bilik darjah. Dengan itu, murid dapat membina pengetahuan mereka sendiri
kerana pendekatan berpusatkan murid menekankan pembelajaran secara
konstruktivisme. Perkara ini amat perlu terutamanya dalam pengajaran dan
pembelajaran aspek seni bahasa yang mana memerlukan penglibatan murid untuk
melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang guru tetapkan seperti
menyanyi, berlakon, bercerita dan melafazkan puisi. Untuk aspek tatabahasa
pula, penglibatan murid secara aktif amatlah perlu untuk membolehkan murid
menguasai konsep tatabahasa dengan mudah menerusi pelaksanaan aktiviti secara
koperatif. Tuntasnya, pelaksaaan pendekatan berpusatkan murid adalah perlu
untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan murid dalam aspek seni bahasa dan
tatabahasa signifikan dengan pembelajaran abad ke-21 yang menekankan
penglibatan murid secara aktif dalam pengajaran dan pembelajaran.
Pendekatan tematik merupakan salah satu strategi
pengajaran dan pembelajaran aspek seni bahasa dan tatabahasa. Berdasarkan
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Malaysia Sekolah Rendah, pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia diajar
berdasarkan tema. Melalui pengajaran dan pembelajaran bertema, seni bahasa dan
tatabahasa dapat disepadukan dan dikukuhkan dengan aspek kemahiran bahasa yang
lain. Melalui pengaplikasian pendekatan tematik dalam pengajaran dan
pembelajaran seni bahasa dan tatabahasa, ilmu daripada mata pelajaran dan
disiplin lain lebih mudah diserapkan. Perkara ini signifikan dengan pendapat
Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad (2012) yang menyatakan bahawa pendekatan secara tema akan
membolehkan pelajar menganalisis, membuat generalisasi dan mengaplikasi
pengetahuan. Holistiknya, pendekatan ini
akan memberikan peluang kepada pelajar mengalami pelbagai pengalaman dalam
situasi yang berlainan. Sebagai tamsilan, pendekatan tematik dalam konteks seni
bahasa dapat dilihat apabila murid melafazkan puisi berdasarkan tema
kemederkaan. Untuk aspek tatabahasa pula, pendekatan tematik dapat
diimplementasikan menerusi aktiviti yang mana murid melengkap teks menggunakan
kata nama am hidup manusia yang sesuai berdasarkan tema kekeluargaan.
Intihanya, pendekatan tematik merupakan pendekatan yang amat bersesuaian dengan
pengajaran aspek seni bahasa dan tatabahasa bertepatan dengan saranan Dokumen
Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Malaysia Sekolah Rendah.
Pengajaran dan pembelajaran
aspek seni bahasa dan tatabahasa juga dapat dilaksanakan dengan mengaplikasikan
pembelajaran secara kontekstual. Pembelajaran kontekstual ialah konsep belajar
yang membantu guru mengaitkan unsur masteri dengan situasi nyata murid (Ragbir
Kaur Joginder Singh, 2013). Pendekatan ini mendorong murid untuk menghubungkan
pengetahuan yang dimiliki melalui penerapan dalam kehidupan seharian. Melalui
pembelajaran secara kontekstual, murid-murid mengalami sendiri pembelajaran
untuk membina pengetahuan, selain memberikan makna bagi sesuatu pengetahuan
yang diperoleh. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu,
pembelajaran secara kontekstual ini adalah penting untuk membolehkan murid
menghubungkaitkan pengetahuan sedia ada mereka dengan isi pelajaran. Sebagai
contoh, pengaplikasian pembelajaran secara kontekstual dalam pengajaran dan
pembelajaran aspek seni bahasa ialah murid melakonkan semula situasi harian
mereka seperti bermain laying-layang dan sebagainya. Untuk pengajaran
tatabahasa pula, pembelajaran secara kontekstual diterjemahkan menerusi
aktiviti yang mana guru meminta murid menyatakan kata ganti nama bagi ahli
keluarga mereka. Deduksinya, pembelajaran secara kontekstual adalah relevan
dengan pengajaran dan pembelajaran seni bahasa dan tatabahasa kerana murid
dapat menggunakan pengetahuan sedia ada mereka untuk melaksanakan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran yang guru tetapkan.
Dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR),
pembelajaran secara didik hibur merupakan antara strategi pembelajaran yang
diberi perhatian. Berdasarkan pernyataan tersebut, pembelajaran secara didik
hibur merupakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang boleh digunakan untuk
aspek seni bahasa dan tatabahasa. Didik hibur merupakan
satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang menekankan
persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan secara terancang (Bahagian
Pembangunan Kurikulum, 2013). Unsur keseronokan akan wujud melalui pembelajaran
yang santai, menarik, menghibur, bermakna dan memikat yang dapat membantu memperkukuh
pemahaman dan mendorong murid untuk belajar. Dalam erti kata yang lain,
pembelajaran secara didik hibur memberi penekanan terhadap pembelajaran bahasa
dalam keadaan yang menyeronokkan. Bagi aspek seni bahasa, pembelajaran secara
didik hibur memang tidak asing lagi. Perkara ini dapat dilihat menerusi
Standard Pembelajaran bagi aspek seni bahasa yang mana memberi penekanan
terhadap aktiviti nyanyian, bercerita, lakonan dan melafazkan puisi. Dalam
konteks pengajaran tatabahasa pula, elemen didik hibur dapat diterapkan dalam
pelbagai aktiviti. Contohnya, dalam pengajaran kata seru, murid berlakon dengan
mengujarkan dialog yang mengandungi kata seru. Berdasarkan contoh tersebut,
elemen didik hibur yang diaplikasikan ialah lakonan. Ringkasnya, pembelajaran secara
didik hibur merupakan antara strategi pengajaran dan pembelajaran aspek seni
bahasa dan tatabahasa yang relevan untuk dilaksanakan.
Strategi pengajaran dan pembelajaran aspek seni
bahasa dan tatabahasa yang boleh diaplikasikan ialah kepelbagaian sumber bahan.
Strategi pengajaran dan pembelajaran tersebut menekankan penggunaan bahan yang
pelbagai dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Menurut
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Malaysia Sekolah Rendah, penggunaan pusat sumber dan komputer amatlah digalakkan dalam pengajaran
dan pembelajaran Bahasa Malaysia. Bahan-bahan sumber seperti akhbar, majalah,
buku rujukan, kamus, Internet, bahan sastera dan bahan berunsur ilmu hendaklah
digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran serta untuk bacaan ekstensif.
Sebagai contoh, dalam pengajaran dan pembelajaran seni bahasa, guru boleh
menggunakan pelbagai bahan utk membolehkan murid menghasilkan dialog bagi
melaksanakan aktiviti lakonan. Manakala, bagi aspek tatabahasa pula, guru boleh
menggunakan pelbagai sumber bahan teks untuk murid analisis dalam pembelajaran
sesuatu aspek golongan kata seperti kata nama. Ringkasnya, kepelbagaian sumber
bahan memainkan peranan penting dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran
khususnya bagi aspek seni bahasa dan tatabahasa.
Secara kesimpulan, terdapat pelbagai strategi pengajaran dan
pembelajaran aspek seni bahasa dan tatabahasa yang boleh diaplikasikan dalam
melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Berdasarkan pernyataan tersebut, guru perlulah memilih strategi tersebut
mengikut kesesuaian aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan.
Setiap strategi tersebut mempunyai kekuatan masing-masing yang mana mampu
meningkatkan pengetahuan, pemahaman dan kemahiran murid dalam aspek seni bahasa
dan tatabahasa.
Ulasan
Catat Ulasan