Gaya Bahasa dalam Karya Sastera


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Bahasa menjadi salah satu komponen penting dalam sesebuah karya sastera (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Kejayaan sesebuah karya sastera banyak bergantung pada kekuatan dan keindahan bahasa yang digunakan oleh pengarang. Bahasa menjadi medium yang penting untuk pengarang menyampaikan cerita, idea, pemikiran dan permasalahan yang lain. Pengarang yang kreatif akan cuba menggunakan pelbagai gaya bahasa dan mengeksploitasi bahasa dengan sebaik-baiknya agar cerita yang disampaikan menarik dan memberi kesan kepada pembaca. Bahasa yang digunakan oleh pengarang hendaklah dalam lingkungan rumus dan tatabahasa yang diamalkan oleh bahasa tersebut.
Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011), gaya bahasa merujuk kepada pemilihan kata, frasa dan ayat yang digunakan oleh pengarang bagi menyampaikan ceritanya. Gaya bahasa bukanlah apa yang ditulis oleh pengarang, tetapi bagaimana pengarang menulis dan mempersembahkan ceritanya. Gaya bahasa melibatkan tanda baca, rima tona, pengulangan, tekanan dan sebagainya yang juga ada kaitan dengan ciri-ciri linguistik dan juga semantik bahasa. Dalam hal ini, pengarang bebas memanipulasi diksi, struktur ayat, memilih frasa, membina dialog dan aspek bahasa yang lain untuk menimbulkan gaya atau mood. Dalam drama, gaya bahasa melibatkan intonasi dan bunyi suara yang berbagai-bagai. Gaya bahasa yang digunakan oleh seseorang pengarang merupakan identiti dan gaya yang unik bagi pengarang itu sendiri sehingga membezakannya daripada pengarang yang lain.
Berdasarkan takrifan yang diberikan oleh Fadzri Aris et al. (2013), gaya bahasa atau unsur keindahan merupakan cara pengkarya menggunakan bahasa dengan baik dan kreatif dalam usaha mengungkapkan tema dan persoalan dalam sesuatu karya yang menjadi pemikirannya. Gaya bahasa atau unsur keindahan meliputi semua aspek bahasa seperti pemilihan kata, penggunaan kiasan, pembinaan frasa, pembinaan ayat dan sebagainya. Keindahan sesuatu karya akan terserlah melalui penggunaan gaya atau unsur keindahan oleh penulis untuk menarik perhatian pembaca.  Antara gaya bahasa dan unsur keindahan yang sering digunakan oleh pengkarya untuk memastikan karya yang dihasilkan menarik adalah seperti yang berikut:             


Gaya Bahasa atau Unsur Keindahan
·       Diksi
·       Simile
·       Metafora
·       Hiperbola
·       Sinkope
·       Pembinaan Ayat
·       Rima
·       Asonansi
·       Aliterasi
·       Perulangan
·       Perlambangan
·       Personifikasi


Diksi
Menurut Fadzri Aris et al. (2013), diksi ialah pemilihan dan penggunaan kata dalam sesebuah karya sastera. Diksi yang baik dapat dilihat pada pemilihan kata yang tepat sesuai dengan maksud tertentu yang ingin disampaikan oleh pengkarya, penggunaan kata yang munasabah yang dapat diterima sebagai penggunaan diksi yang baik serta penggunaan kata yang jelas dan khusus. Dalam pada itu, pemilihan dan penggunaan kata tersebut juga seharusnya sesuai dengan tema serta nada cerita. Di samping itu, setiap kata yang dipilih haruslah dapat memberikan gambaran tentang sesuatu peristiwa dengan tepat, jelas dan berkesan. Pemilihan dan penggunaan kata tersebut juga seharusnya dapat menghidupkan dan menerangkan watak serta perwatakannya dalam karya. Diksi mempunyai hubungan yang rapat dengan pembinaan ayat.

Simile
Simile ialah perbandingan dengan menggunakan perkataan seperti umpama, seperti, bak, bagai, ibarat dan sebagainya (Fadzri Aris et al., 2013). Contoh simile dalam petikan ayat Terasa ketika itu kakinya macam kaki gajah yang untut dan tidak cantik ialah pengarang membandingkan kaki watak tersebut dengan kaki gajah.

Metafora
Menurut Fadzri Aris et al. (2013), metafora ialah perbandingan atau kiasan yang mengandungi dua perkataan, iaitu konkrit dan abstrak. Contoh metafora ialah kotak fikiran dan buku rahsia. Dalam contoh tersebut, kotak dan buku bersifat konkrit manakala fikiran dan rahsia bersifat abstrak. Penggunaan metafora adalah untuk menyatakan maksud yang mendalam dan menarik perhatian pembaca.

Hiperbola
Berdasarkan definisi yang diberikan oleh Fadzri Aris et al. (2013), hiperbola merupakan sejenis bahasa kiasan yang digunakan untuk menyatakan sesuatu secara berlebih-lebihan daripada maksud sebenarnya.  Contoh hiperbola ialah Meski ilmu setinggi tegak. Berdasarkan contoh tersebut, frasa ilmu setinggi tegak merupakan gambaran yang berlebih-lebihan kerana tiada ilmu yang tinggi sehingga menegak. Gambaran tersebut untuk menunjukkan betapa banyaknya ilmu di dunia yang terdapat di dunia ini.

Sinkope
Menurut Fadzri Aris et al. (2013), sinkope merupakan singkatan sesuatu perkataan. Contoh frasa yang mengandungi sinkope ialah Saya dah tak tahan dengan kamu. Hari ini saya nak denda kamu!. Berdasarkan contoh tersebut, perkataan tak disingkatkan daripada perkataan tidak, manaka perkataan nak disingkatkan daripada perkataan hendak.

Pembinaan Ayat
Fadzri Aris et al. (2013) menyatakan bahawa pengkarya menggunakan pelbagai jenis ayat dalam menghasilkan karyanya. Penggunaan pelbagai jenis ayat tersebut disesuaikan dengan tema, persoalan, peristiwa, situasi tertentu, watak dan sebagainya. Pelbagai jenis ayat yang digunakan ialah ayat mudah, ayat sederhana dan ayat kompleks. Antara jenis ayat tersebut termasuklah ayat inti, ayat tanya, ayat pasif, ayat penegas, ayat seruan, ayat gabungan, ayat pancangan, dan sebagainya.

Rima
Fadzri Aris et al. (2013) menyatakan bahawa rima merupakan gaya bahasa yang terdapat dalam puisi. Rima merupakan unsur bunyi pada suku kata terakhir dalam sesuatu ayat atau sesuatu baris puisi. Dalam sesuatu puisi, rima yang terdapat pada baris akhir disebut sebagai rima akhir. Rima yang terdapat pada awal dua atau lebih daripada dua patah kata dalam puisi disebut sebagai rima awal. Rima terdapat juga pada beberapa tempat selepas suku kata pertama dan sebelum suku kata terakhir yang disebut sebagai rima dalam.

Asonansi
Asonansi merupakan pengulangkan bunyi vokal yang sama yang dominan pada baris sajak (Fadzri Aris et al., 2013). Contoh asonansi ialah Kita hanya tak lupa iaitu pengulangan vokal a.

Aliterasi
Fadzri Aris et al. (2013) mendefinisikan aliterasi sebagai pengulangan bunyi konsonan yang sama yang dominan dalam baris sajak. Contoh aliterasi ialah Penawar penyakit manusia iaitu pengulangan konsonan n.

Perulangan
Fadzri Aris et al. (2013) menyatakan bahawa perulangan berlaku pada kata, ungkapan, baris atau rangkap yang diulang dalam sajak. Lazimnya, terdapat empat jenis perulangan iaitu anaphora, repitisi, simplok dan epifora. Anafora merupakan perulangan pada awal baris, manakala epifora ialah perulangan pada akhir baris. Repitisi ialah perulangan kata dalam sesuatu baris dan simplok pula bermaksud perulangan kata ditengah-tengah baris-baris puisi.

Perlambangan
Perlambangan atau simbol merupakan sesuatu perkataan atau frasa yang digunakan untuk memaksudkan sesuatu yang lain (Fadzri Aris et al., 2013). Contoh perlambangan adalah pada azab dan seksa di sana. Berdasarkan contoh tersebut, frasa di sana melambangkan alam barzakh, yakni alam selepas mati.

Personifikasi
Fadzri Aris et al. (2013) menyatakan bahawa personifikasi juga dikenali sebagai perorangan atau penginsanan. Maksud personafikasi ialah tindakan pengarang memberi sifat manusia sama ada dari segi perasaan, perwatakan atau tingkah laku kepada benda-benda yang mati seperti binatang, idea, atau hal-hal yang lebih abstrak. Contoh personafikasi ialah sebiji tahi lalat besar bersemayam.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran