Pengenalan kepada Perkamusan


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Menurut Kridaklasana (1984), perkamusan sebagai ilmu dikenali sebagai leksikografi, iaitu cabang ilmu linguistik terapan yang memusatkan pembahasaannya kepada kaedah dan teknik penyusunan kamus. Leksikografi merupakan cabang linguistik terapan yang terdiri daripada pemerhatian, pengumpulan, pemilihan, dan keterangan unit-unit dalam kumpulan perkataan dan ungkapan dalam satu atau lebih bahasa. Leksikografi memerlukan bantuan leksikologi.
Leksikologi ialah bidang ilmu bahasa interdisiplin yang mengkaji leksikon, leksis, dan leksem. Oleh itu, bidang ini bersifat teoritis, manakala leksikografi merupakan kaedah dan teknik menyusun kamus. Leksikografi dan leksikologi mempunyai perkaitan yang rapat dalam perkembangan perbendaharaan kata sesuatu bahasa. Hal ini kerana perakaman perbendaharaan kata dilakukan melalui penghasilan kamus. Tugas ahli leksikografi adalah untuk menghasilkan sebuah kamus. Dalam penghasilan kamus, terdapat beberapa perkara yang perlu ditangani misalnya makna perkataan yang sentiasa berubah. Tegasnya fungsi asas sebuah kamus ialah memberikan makna kepada perkataan-perkataan atau item leksikal.
Pada masa kini, kamus merupakan buku yang memuat perbendaharaan kata suatu bahasa yang secara ideal tidak terbatas jumlahnya. Kamus ialah sejenis buku rujukan yang menerangkan makna kata-kata serta berfungsi untuk membantu para pengguna mengenal perkataan yang baharu. Selain daripada menerangkan maksud kata, kamus juga mempunyai panduan sebutan, etimologi sesuatu perkataan dan juga contoh penggunaan bagi sesuatu perkataan. Bagi menguatkan pemahaman pengguna, kadang kala terdapat juga ilustrasi di dalam kamus.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran