Konsep Kemahiran Bahasa
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Siti Hajar Abdul Aziz (2011) dalam bukunya yang bertajuk Bahasa Melayu II menyatakan bahawa kemahiran
bahasa merupakan isu yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu di sekolah sejak dahulu lagi. Antara isu yang pernah diperkatakan adalah
berkenaan dengan terdapatnya sebilangan murid sekolah rendah yang masih tidak
menguasai kemahiran bahasa, khususnya kemahiran membaca dan kemahiran menulis
walaupun murid-murid tersebut telah menjalani sesi persekolahan selama enam
tahun. Murid juga dikatakan kurang mampu untuk bertutur dan menggunakan bahasa
dalam bentuk yang tersusun dan sempurna. Pelajar di sekolah menengah pula kerap
melakukan kesalahan bahasa dalam penulisan dan aktiviti lisan mereka. Oleh yang
demikian, bagi mengatasi kelemahan tersebut, pengajaran kemahiran bahasa telah
distrukturkan semula, dikemas kini dan diperkukuh dalam Dokumen Standard
Pengajaran dan Pentaksiran (DSKP) Bahasa Malaysia bermula pada tahun 2011.
Menurut Ali Mahmood et al. (2011) menerusi buku
yang bertajuk Pengenalan Pendidikan
Bahasa Melayu, faktor utama yang menyebabkan kebanyakan murid tidak dapat
menguasai kemahiran bahasa dengan baik adalah disebabkan oleh murid tersebut
tidak mendapat peluang untuk mendirikan asas berbahasa yang kukuh sewaktu
berada pada peringkat sekolah rendah. Pada peringkat sekolah menengah pula, pelajar
lebih memberikan fokus untuk lulus peperiksaan semata-mata. Dalam erti kata
yang lain, mereka mempelajari kemahiran bahasa bukan untuk meningkatkan tahap
kemahiran bahasa, sebaliknya untuk membolehkan mereka menjawab soalan
peperiksaan.
Bebanan
tugas guru yang terlalu banyak di sekolah berkemungkinan juga memberi implikasi
dan mempengaruhi pretasi kemahiran bahasa pelajar. Hal ini demikian kerana,
guru berkemungkinan menghadapi kesukaran bagi menyediakan bahan pengajaran yang
sesuai dan menepati sesuatu kemahiran bahasa yang hendak dikuasai oleh pelajar.
Guru bukan sahaja perlu menilai bahan pengajaran tersebut terlebih dahulu,
tetapi juga perlu memikirkan cara bahan pengajaran tersebut hendak digunakan
serta mencipta aktiviti dan latihan bagi membolehkan pelajar menguasai kemahiran
bahasa secara efektif (Tuan Jah Tuan Yusof dan Faridah Nazir, 2011). Kerja yang
banyak dan rumit ini sudah tentu membebankan guru. Perkara tersebut
mempengaruhi tahap kesediaan guru dalam melaksanakan sesi pengajaran.
Kepentingan
kemahiran bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran perlu disedari oleh semua
pihak. Tanggungjawab mengukuhkan kemahiran bahasa dalam kalangan murid bukan
hanya dipikul oleh guru semata-mata, bahkan ibu bapa dan masyarakat amnya. Murid
yang dapat menguasai kemahiran bahasa dengan baik secara tidak langsung dapat mempelajari mata pelajaran yang lain
dengan lebih berkesan. Oleh yang demikian, guru perlulah menggunakan pelbagai
teknik dan kaedah dalam pengajaran kemahiran bahasa agar pengajaran kemahiran
tersebut dapat dilaksanakan secara efektif.
Ulasan
Catat Ulasan