Hubungan Etnik Berdasarkan Perspektif Kepelbagaian Agama


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman et al. (2002)  kewujudan masyarakat majmuk di Malaysia telah berlaku sejak sekian lama. Hal ini demikian kerana, Kepulauan Melayu pada ketika itu menjadi pusat perdagangan dan pertukaran barangan disebabkan oleh kedudukannya yang strategik iaitu terletak di antara laluan Timur dan Barat. Sesetengah pedagang bermastautin di Kepulauan Melayu dan berasimilasi dengan budaya masyarakat Melayu. Kedatangan masyarakat Cina dan India pada pertengahan abad ke-20 ketika penjajahan British menyebabkan wujudnya masyarakat majmuk yang lebih luas di Tanah Melayu. Pembentukan Malaysia pada tahun 16 S’eptember 1963 mengukuhkan lagi konsep masyarakat majmuk di Malaysia menerusi kemasukan masyarakat peribumi di Sabah dan Sarawak. Dalam konteks negara pelbagai bangsa seperti Malaysia, kerukunan dan saling memahami antara satu dengan yang lain amat perlu untuk menjamin keamanan dan kesejahteraan negara secara berterusan. Setiap individu seharusnya memahami dan menghormati agama yang dianuti individu lain supaya tidak timbul prejudis. Kewujudan bersama dan nilai agama di Malaysia mempunyai persamaan nilai sejagat yang diterima dan diamalkan merupakan asas yang kukuh untuk mewujudkan sebuah masyarakat bersatu padu dari aspek hubungan etnik.  
            Kepelbagaian agama dalam konteks hubungan etnik di Malaysia dapat diberi penekanan menerusi penggubalan Rukun Negara. Aspek hubungan etnik dalam konteks Rukun Negara dapat dilihat menerusi prinsip pertama dalam Rukun Negara tersebut iaitu Kepercayaan kepada Tuhan. Mohd Ashraf Ibrahim et al. (2015) menyatakan bahawa prinsip pertama dalam Rukun Negara tersebut merupakan medium yang efektif dalam mewujudkan persefahaman antara masyarakat pelbagai kaum yang berlainan agama. Hal ini demikian kerana, semua agama mengajar para penganutnya untuk menghormati antara satu dengan yang lain. Perkara tersebut secara tidak langsung mewujudkan keharmonian dan persefahaman antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini dan menjadi asas pembinaan jati diri masyakat majmuk di Malaysia dan sewajarnya menjadi panduan dan pedoman hidup bermasyarakat oleh seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Pada asasnya, prinsip ini menyatakan bahawa rakyat Malaysia berpegang teguh kepada kepercayaan kepada Tuhan. Kepercayaan kepada Tuhan mampu menjadikan masyarakat berpegang teguh kepada nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama. Sekiranya masyarakat berpegang teguh kepada ajaran agama masing-masing secara postif maka perkara tersebut dapat membentuk kehidupan yang harmoni dan sejahtera. Menerusi ikatan keagamaan, manusia akan bertindak sebagai seorang yang bertanggungjawab dan sentiasa menjaga keamanan dan keharmonian negara. Rakyat juga akan sentiasa berasa bersyukur dalam kehidupannya.
            Keharmonian hubungan etnik dalam konteks kepelbagaian agama dapat dibuktikan apabila wujudnya etnisiti dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia meskipun mempunyai kepelbagaian agama yang berbeza. Menurut Azman Abdul Manaf (2001), masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan agama yang berbeza meskipun agama Islam merupakan agama rasmi. Dalam erti kata yang lain, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik mempunyai kepelbagaian agama mengikut kepercayaan masing-masing. Perkara tersebut adalah selaras dengan perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyatakan bahawa rakyat pelbagai kaum di Malaysia bebas menganuti pelbagai agama walaupun agama Islam ditetapkan sebagai agama rasmi. Etnisiti dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia dapat dibuktikan menerusi kurangnya aktiviti yang berunsur kepada penghinaan agama di negara ini. Dalam hal ini, masyarakat majmuk di negara ini kurang menyentuh sensitiviti penganut agama lain yang boleh menjejaskan keharmonian. Rakyat Malaysia mengamalkan nilai menghormati kepercayaan kaum-kaum yang lain. Hal ini dapat dibuktikan menerusi pembinaan beberapa rumah ibadat tanpa mengambil kira aspek perbezaan agama. Intihanya, masyarakat majmuk di Malaysia mendukung konsep etnisiti dalam konteks kepelbagaian agama untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni.
            Sejajar dengan konsep 1 Malaysia yang amat menekankan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, keharmonian hubungan etnik di Malaysia dapat dilihat menerusi penganjuran rumah terbuka pada peringkat kebangsaan bagi sesuatu perayaan yang terdapat di negara ini. Seperti yang telah diketahui, masyarakat majmuk di Malaysia menyambut pelbagai perayaan agama yang berbeza-beza mengikut agama dan kepercayaan masing (Abdul Halim Ramli, 2009). Sambutan perayaan tersebut pada peringkat kebangsaan mengukuhkan lagi perhubungan masyarakat Malaysia yang mempunyai kepelbagaian agama. Sebagai tamsilan, pihak kerajaan sering kali menganjurkan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina, Rumah Terbuka Malaysia Hari Raya Aidilfitri, Rumah Terbuka Malaysia Deepavali dan Rumah Terbuka Malaysia Krismas. Kemeriahan sambutan perayaan tersebut bukan sahaja dapat dilihat dalam pada peringkat kebangsaan, tetapi juga dapat dilihat dalam konteks kehidupan masyarakat. Dalam hal ini, masyarakat pelbagai kaum menyambut perayaan agama untuk menghormati perayaan-perayaan tersebut. Hal ini secara tidak langsung menimbulkan sifat menghormati kepelbagaian agama yang menjurus kea rah perpaduan dan pengukuhan hubungan etnik dalam konteks kepelbagaian agama. Deduksinya, kepelbagaian perayaan yang disambut oleh masyarakat pelbagai kaum yang mempunyai agama berbeza di negara ini menimbulkan perasaan saling hormat-menghormati antara satu dengan lain yang menjurus ke arah perpaduan kaum.
            Dalam sistem pendidikan, keharmonian dalam kepelbagaian agama turut diberi perhatian. Perkara tersebut dapat dilihat menerusi pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang menekankan aspek kerohanian, sikap dan nilai sebagai salah satu tunjang dalam sistem pendidikan negara seperti mana yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025). Menerusi tunjang tersebut, perkara yang diberi penekanan yang utama ialah murid dapat menghayati amalan agama dan kepercayaan masing-masing yang menjurus ke arah wujudnya perasaan saling hormat-meghormati antara satu dengan yang lain (Noriati A. Rashid et al., 2013). Sejajar dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), mata pelajaran seperti Pendidikan Islam, Bahasa Cina Komunikasi, Bahasa Tamil, Bahasa Kadazandusun, Bahasa Iban, Bahasa Semai dan Pendidikan Moral kini diajar pada peringkat sekolah rendah semua aliran yang merangkumi Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Pelaksaan sistem tersebut menghapuskan sifat prejudis dalam kalangan masyarakat pelbagai. Dalam hal ini, meskipun murid beragama Islam merupakan murid minoriti di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), mata pelajaran Pendidikan Islam masih diajarkan. Ringkasnya, kepelbagaian agama dalam konteks hubungan etnik dapat dilihat dalam pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dalam sistem pendidikan negara.
Secara keseluruhan, kepelbagaian agama yang wujud di negara ini bukanlah menjadi penghalang kepada masyarakat majmuk di negara ini untuk hidup dalam suasana yang aman dan harmoni. Kepelbagaian tersebut sebaliknya mengukuhkan lagi semangat perpaduan yang mencerminkan keunikan kepelbagaian budaya di Malaysia. Untuk mengukuhkan lagi hubungan etnik dalam konteks kepelbagaian agama, terdapat pelbagai langkah yang telah diambil oleh pihak kerajaan. Dalam hal ini, penggubalan Rukun Negara yang menekankan aspek kepercayaan kepada Tuhan berdasarkan perspektif agama masyarakat majmuk di Malaysia dapat menyemai perasaan saling hormat-menghormati antara satu dengan yang lain. Toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia dalam aspek kepelbagaian agama juga mengukuhkan lagi hubungan etnik dalam kalangan masyarakat majmuk. Penganjuran rumah terbuka perayaan pelbagai kaum juga antara langkah yang diambil oleh untuk mengukuhkan lagi perhubungan masyarakat Malaysia yang mempunyai kepelbagaian agama. Kepentingan sistem pendidikan sebagai wahana yang mampu mewujudkan semangat perpaduan peringkat awal menyebabkan kerajaan melaksanakan dasar pendidikan yang mampu mewujudkan persefahaman antara kaum. Oleh yang demikian, masyarakat majmuk di Malaysia seharusnya menyokong usaha murni kerajaan untuk mewujudkan hubungan etnik yang positif dalam konteks kepelbagaian agama.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran