Konsep Kemahiran Lisan


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Siti Hajar Abdul Aziz (2011) menerusi buku Bahasa Melayu II, kemahiran lisan merupakan kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh setiap individu. Dalam konteks kanak-kanak, kemahiran tersebut perlu dikuasai terlebih dahulu sebelum mereka menguasai kemahiran bahasa yang lain. Pada kebiasaannya, kanak-kanak yang dapat menguasai kemahiran lisan dengan baik dapat menguasai kemahiran bahasa yang lain dengan baik juga. Kemahiran lisan meliputi dua kemahiran bahasa, iaitu kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Kemahiran mendengar boleh mempengaruhi kemahiran bertutur dan begitu juga sebaliknya. Pertuturan yang baik bermakna kita meniru cara atau gaya percakapan orang lain, tetapi diperoleh hasil daripada kita mendengar dengan baik ujaran penutur. Oleh yang demikian, untuk menguasai kemahiran lisan tersebut, murid perlu dilatih untuk menggunakannya secara kerap dan mengajarkannya secara terancang.
           Kemahiran lisan secara umum dirujuk kepada keupayaan seseorang atau beberapa orang bertutur, berkomunikasi / berinteraksi menyampaikan idea, pandangan, mahupun pendapat dalam percakapan dan perbualan.  Dalam apa-apapun keadaan, di mana atau bagaimana proses ini berlaku, orang yang terlibat akan saling menghantar dan menerima, yakni memberi gerak balas @ respon tertentu.  Ini bermakna dalam proses lisan itu, komponan kemahiran mendengar dan bertutur yang tidak kurang pentingnya.  Dalam konteks ini, kemahiran mendengar ialah proses yang melibatkan aktiviti pemerolehan mesej atau maklumat; manakala kemahiran bertutur pula melibatkan proses menjana dan menghasilkan penghasilan maklumat. 

Kebolehan untuk mendengar dan bertutur dengan baik dan berkesan sangat penting dalam kehidupan seharian.  Ini bermakna, seorang pendengar yang baik dapat memahami dan memperoses maklumat yang didengarinya dalam sesuatu interaksi.  Begitu juga, seorang penutur yang baik dapat menyampaikan perasaan dan pemikirannya dengan tepat dan berkesan dalam interaksi tersebut.

            Lisan merupakan percakapan atau pertuturan, iaitu aktiviti melahirkan bahasa secara verbal melalui suara atau sebutan (Tuan Jah Tuan Yusof dan Faridah Nazir, 2011). Kita akan bercakap menggunakan bahasa yang kita kuasai. Kita akan mengujarkan sesuatu ketika berinteraksi atau berkomunikasi dengan orang lain. keperluan untuk berkongsi maklumat dan berinteraksi merupakan fitrah manusia. Berdasarkan pernyataan tersebut, tujuan menguasai lisan bukan semata-mata untuk mempelajari bahasa, tetapi juga untuk mencapai tahap kompetensi dalam berkomunikasi. Individu yang tidak menguasai kemahiran lisan dengan baik akan mendatangkan masalah kepada dirinya, iaitu dia tidak dapat memahami pertuturan individu yang lain serta memberi tindak balas terhadap pertuturan tersebut.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Binaan Plot