Peranan Bahan Bantu Mengajar dalam Pengajaran Seni Bahasa dan Tatabahasa

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin


Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Rendah digubal untuk membolehkan murid berketerampilan dalam berbahasa dan boleh berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh pengetahuan, ilmu, kemahiran, maklumat, nilai dan idea serta hubungan sosial dalam kehidupan harian (Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia, 2014). Berlandaskan pernyataan tersebut, Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Malaysia Sekolah Rendah bukan sahaja memberi fokus terhadap aspek kemahiran bahasa sahaja, tetapi juga memberi fokus terhadap aspek seni bahasa dan tatabahasa bagi mengukuhkan tahap kecekapan berbahasa dalam kalangan murid. Seni bahasa merujuk kepada aspek kebahasaan, keindahan dan kehalusan dalam Bahasa Melayu yang perlu difahami dan dikuasai oleh murid dan menekankan pembelajaran secara didik hibur. Manakala, tatabahasa pula terdiri merujuk kepada merujuk aspek morfologi dan sintaksis Bahasa Melayu yang perlu difahami dan dikuasai oleh murid. Aspek tersebut perlu diajarkan menerusi pengajaran yang terancang dengan pengaplikasian teknik pengajaran yang sesuai dan berkesan. Berdasarkan pernyataan tersebut, penggunaan bahan bantu belajar memainkan peranan penting dalam meningkatkan pemahaman murid terhadap aspek seni bahasa dan tatabahasa yang ditekankan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Malaysia. Terdapat beberapa peranan penting bahan bantu belajar dalam pengajaran dan pembelajaran aspek seni bahasa dan tatabahasa.
            Bahan bantu belajar yang boleh guru implementasikan dalam pengajaran dan pembelajaran seni bahasa dan tatabahasa ialah bahan maujud. Menurut Mok Soon Sang (2009), bahan maujud merupakan bahan konkrit atau bahan sebenar yang boleh disentuh dan dipegang oleh murid. Penggunaan bahan maujud dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan pemahaman murid terhadap sesuatu konsep yang disampaikan oleh guru. Hal ini demikian kerana, murid akan lebih memahami konsep yang guru sampaikan secara lebih terperinci sekiranya mereka diberi bahan yang bersifat konkrit kerana murid terikat pada pengalaman deria motor yang konkrit sahaja.  Berlandaskan pernyataan tersebut, murid dapat membina idea dengan lebih bermakna berdasarkan bahan maujud yang diperhatikan kerana bahan tersebut memberi pengalaman langsung kepada mereka. Perkara ini sejajar dengan pernyataan Wong Kiet Wah et al. (2013) yang menyatakan bahawa murid pada peringkat sekolah rendah membina konsep berdasarkan objek dan peristiwa konkrit. Pengimplementasian bahan maujud dalam proses pengajaran dan pembelajaran juga dapat memberi rangsangan kepada murid untuk terlibat aktif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran bertepatan dengan teori pembelajaran behaviorisme. Pernyataan tersebut signifikan dengan pendapat Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad (2012) yang menegaskan bahawa bahan bersifat konkrit dapat menarik minat murid untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran. Dalam pengajaran seni bahasa bagi Standard Pembelajaran 4.3.1 Mengujarkan dialog dengan sebutan yang betul, intonasi yang jelas dan bahasa badan yang sesuai melalui lakonan secara didik hibur, penggunaan bahan maujud seperti kostum dapat membantu murid dalam memahami peranan dan dialog watak yang mereka lakonkan. Untuk pengajaran aspek tatabahasa bagi Standard Pembelajaran 5.1.1 Memahami dan menggunakan kata nama am yang mudah dengan betul mengikut konteks, penggunaan bahan maujud seperti kad gambar dapat memudahkan murid memahami beberapa kata nama am berdasarkan kad gambar tersebut. Deduksinya, penggunaan bahan maujud dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dapat meningkatkan kefahaman murid terhadap konsep yang guru sampaikan.
            Guru juga boleh mengaplikasikan bahan teks sebagai salah satu bahan bantu belajar ketika melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malayia di dalam bilik darjah. Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad (2012) mendefinisikan bahan teks sebagai suatu bahan pembelajaran yang mengandungi tulisan. Penggunaan bahan teks dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dapat memperluas kosa kata murid dalam pelbagai konteks kerana bahan teks tersebut mengandungi pelbagai kosa kata berdasarkan tema tertentu (Ali Mahmood et al., 2011). Hal ini bertepatan dengan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Malaysia Sekolah Rendah yang menekankan aspek kosa kata seperti mana yang terdapat dalam sistem bahasa. Menerusi penggunaan bahan teks juga, elemen penggabungjalinan dalam pengajaran Bahasa Malaysia dapat dilaksanakan. Dalam hal ini, pengajaran seni bahasa dan tatabahasa yang menggunakan bahan teks sebagai bahan bantu belajar boleh menyelitkan pengajaran kemahiran membaca. Situasi tersebut sudah tentu membolehkan murid untuk menguasai aspek seni bahasa atau tatabahasa dengan kemahiran membaca dengan lebih efektif. Sebagai tamsilan, pengajaran aspek seni bahasa berdasarkan Standard Pembelajaran 4.3.1 Mengujarkan dialog dengan sebutan yang betul, intonasi yang jelas dan bahasa badan yang sesuai melalui lakonan secara didik hibur, penggunaan bahan teks iaitu petikan  dialogmembantu murid untuk meningkat kosa kata mereka berdasarkan dialog tersebut selain meningkatkan keupayaan membaca secara mekanis dalam kalangan murid. Untuk aspek tatabahasa pula bagi Standard Pembelajaran 5.1.7 Memahami dan menggunakan kata sendi nama dan kata seru dengan betul mengikut konteks, penggunaan bahan teks iaitu petikan dialog yang mengandungi kata seru membolehkan murid meningkatkan kosa kata mereka dalam aspek kata seru selain membantu murid tersebut untuk meningkatkan kemahiran membaca secara mekanis menggunakan intonasi yang sesuai berdasarkan kata seru yang terdapat dalam petikan dialog tersebut. Konklusinya, penggunaan bahan teks dalam proses pengajaran dan pembelajaran membantu murid untuk meningkatkan kosa kata mereka dalam pelbagai konteks selain meningkatkan kemahiran membaca secara mekanis.
Bahan grafik juga merupakan salah satu bahan bantu belajar yang boleh guru praktikkan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia. Yusup Hashim (2005) mentakrifan bahan grafik sebagai bahan visual yang meringkaskan penerangan dan penilaian tertentu menerusi gabungan penggunaan lukisan, perkataan, lambang dan gambar. Pengimplementasian bahan grafik oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran membantu murid dalam memahami konsep abstrak yang disampaikan dengan lebih mudah kerana bahan tersebut mempersembahkan sesuatu konsep secara menarik dan mudah difahami. Pernyataan ini selaras dengan pendapat Noriati A. Rashid et al. (2012) yang menyatakan bahawa bahan grafik membantu meningkatkan pemahaman murid terhadap konsep yang bersifat abstrak kerana bahan grafik tersebut mencerakinkan konsep-konsep penting dan distrukturkan secara bersistematik. Jenis bahan grafik yang sering kali digunakan oleh guru dalam menerangkan konsep ialah peta I-think bertepatan dengan pelaksanaan pembelajaran abad ke-21. Pengaplikasian peta I-Think meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid kerana  peta tersebut membolehkan murid melakukan analisis dan sintesis terhadap maklumat yang dipersembahkan. Dalam konteks pengajaran seni bahasa berdasarkan Standard Pembelajaran 4.4.2 Membina dan memahami sajak secara terkawal dan mendeklamasikannya dengan sebutan dan intonasi yang betul dan jelas secara didik hibur, penggunaan bahan grafik iaitu peta minda yang menerangkan berkenaan dengan sajak dapat meningkatkan pemahaman murid terhadap ciri-ciri sajak yang mana membantu mereka untuk menghasilkan sajak. Bagi pengajaran aspek tatabahasa berdasarkan Standard 5.1.7 Pembelajaran Memahami dan menggunakan kata bantu, kata perintah dan kata pemeri dengan betul mengikut konteks, penggunaan bahan grafik iaitu peta I-Think yang menerangkan fungsi pelbagai jenis kata bantu, kata perintah dan kata pemeri membantu meningkatkan pemahaman murid terhadap fungsi setiap golongan kata tersebut. Tuntasnya, penggunaan bahan grafik dalam pengajaran dan pembelajaran membantu murid untuk meningkatkan pemahaman mereka terhadap aspek seni bahasa dan tatabahasa.
Bahan bantu belajar seterusnya yang boleh guru praktikkan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia ialah bahan multimedia. Berdasarkan takrifan yang diberikan oleh Noriati A. Rashid et al. (2012), bahan multimedia ialah bahan bantu belajar yang mengintegrasikan pelbagai jenis media pengajaran seperti video, audio, grafik, animasi dan teks. Penggunaan bahan multimedia adalah relevan dengan keperluan dan kehendak pembelajaran abad ke-21 yang difokuskan pada masa ini. Hal ini demikian kerana, penggunaan bahan multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan menyeronokkan sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang menekankan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran. Perkara tersebut disebabkan oleh penggunaan bahan multimedia yang mengintegrasikan pelbagai jenis media pembelajaran dapat menggelakkan murid daripada berasa bosan ketika mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran. Dalam konteks guru, pengimplementasian bahan multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran membantu guru untuk menerangkan konsep kepada murid dengan lebih mudah (Noriati A. Rashid et al., 2012). Bahan multimedia yang mengandungi audio dan video boleh digunakan oleh guru sebagai medium dalam menyampaikan sesuatu konsep. Untuk pengajaran aspek seni bahasa bagi Standard Pembelajaran 4.1.1 Menyebut dan memahami lirik lagu yang mengandungi mesej dalam nyanyian yang dipersembahkan secara didik hibur, penggunaan bahan multimedia yang mengintegrasikan video, audio dan teks membolehkan murid menyanyikan lagu dalam suasana yang menyeronokkan berpandukan bahan multimedia tersebut. Manakala, aspek tatabahasa bagi Standard Pembelajaran 5.1.4 Memahami dan menggunakan kata kerja tunggal dengan betul mengikut konteks, penggunaan bahan multimedia yang mengintegrasikan audio, video dan animasi membantu guru menerangkan konsep kata kerja tunggal kepada murid dengan lebih berkesan selain menimbulkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dalam kalangan murid. Intihanya, bahan multimedia menjadikan suasana pengajaran dan pembelajaran lebih menarik menerusi kepelbagai media pengajaran serta memudahkan tugas guru dalam menyampaikan konsep kepada murid.
Secara holistik, penggunaan bahan bantu belajar memainkan peranan yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran khususnya bagi aspek seni bahasa dan tatabahasa. Bahan bantu belajar merupakan medium yang efektif dalam meningkatkan kefahaman murid terhadap konsep seni bahasa dan tatabahasa yang disampaikan oleh guru. Untuk itu, guru seharusnya mengimplementasikan penggunaan bahan bantu belajar dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Menerusi pengimplementasian tersebut, guru dapat meningkatkan kualiti dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan. Dalam menghasilkan bahan bantu belajar, guru perlu memberi perhatian terhadap beberapa aspek agar bahan belajar yang dihasilkan tersebut bersesuaian dengan tahap kognitif murid. Ringkasnya, penggunaan bahan bantu belajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan yang penting untuk memastikan proses tersebut berjalan dengan efektif.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Binaan Plot