Fungsi Sastera Kanak-kanak

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin


Menurut Zainiah Mohamed Isa (2007), tidak banyak yang boleh diperkatakan berkenaan dengaan sastera dalam pendidikan kanak-kanak, terutamanya pada peringkat prasekolah. Namun demikian, dapat dilihat bahawa sastera kanak-kanak memainkan peranan yang signifikan dalam pendidikan kanak-kanak. Berdasarkan takrifan yang yang diberikan oleh Clynch Brown dan Tomlinson (1999) dalam Khairuddin Mohamad et al. (2014), sastera kanak-kanak adalah buku berkualiti yang terdapat di pasaran yang ditujukan kepada kanak-kanak daripada usia sejak lahir sehinggalah usia dewasa. Tajuk-tajuk buku tersebut adalah yang berkisar pada dunia kanak-kanak, serta dinukilankan dalam bentuk prosa, puisi, fiksyen dan bukan fiksyen. Menurut Glazer (2000) dalam Ismail Yusof (2008), buku kanak-kanak adalah buku-buku yang ditulis bagi tujuan pembacaan kanak-kanak ataupun buku yang menjadi bacaan kanak-kanak tanpa mengira bentuk penulisannya sama ada buku cerita berbentuk fiksyen dan bukan fiksyen yang ditulis untuk memberi maklumat, atau pun buku yang menggunakan bahasa berirama seperti lagu, sajak pantun dan lain-lain. Secara ringkas, sastera kanak-kanak adalah buku kanak-kanak yang menitikberatkan tema, minat kanak-kanak, sifat kanak-kanak, dan keperluan tahap pembacaan kanak-kanak.  Ini bertujuan agar bahan bacaan yang dihasilkan bersesuaian dengan kanak-kanak.  Oleh itu sastera kanak-kanak sebenarnya sesuai digunakan sebagai jambatan bagi membantu perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Sastera kanak-kanak mempunyai peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak.

Perkembangan Bahasa dan Komunikasi
Perkembangan bahasa dan komunikasi amat penting semasa kanak-kanak masih di peringkat sekolah rendah. Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Melayu Sekolah Rendah telah menerapkan unsur-unsur sastera menerusi aspek seni bahasa dan didik hibur (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2011). Dalam hal ini, aspek seni bahasa yang juga merupakan salah satu elemen dalam komponen sastera memberi fokus terhadap sastera dalam bentuk nyanyian, cerita, lakonan dan puisi.
            Sastera kanak-kanak boleh digunakan sebagai medium yang dapat membantu perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak.  Ini boleh dilakukan melalui pembacaan secara mekanis kepada kanak-kanak di bilik darjah.  Melalui aktiviti bacaan tersebut, kanak-kanak akan berpeluang mendengar sebutan yang betul, menyatakan idea atau pendapat melalui perbincangan, dan menceritakan semula cerita atau menulis, atau melukis cerita yang telah didengar atau yang telah dibaca oleh mereka (Khairuddin Mohamad dan Adenan Ayob, 2013).  Menerusi pembacaan bahasa sastera, secara tidak lansung kanak-kanak didedahkan dengan fungsi literasi yang bermakna dan menarik perhatian mereka.  Pembacaan bahan sastera juga dapat memperkayakan perbendaharaan kata kanak-kanak

 Perkembangan Kognitif
Menurut Ragbir Kaur Joginder Singh (2013), komponen perkembangan kognitif menjadi fokus utama dalam pendidikan kanak-kanak kerana keupayaan kognitif mempengaruhi semua aktiviti pembelajaran. Teori Perkembangan Kognitif Piaget diguna pakai dengan meluas di dalam pendidikan awal kanak-kanak. Teori tersebut  merupakan teori konstruktif kerana kanak-kanak secara terus menerus membina pengetahuan melalui proses membina pengetahuan baru berdasarkan pengetahuan yang sedia ada (Wardel,2000). Jika dilihat pada teori Piaget, kanak-kanak prasekolah adalah berada di peringkat praoperasi di mana pada peringkat itu berlaku perkembangan drastik dalam penggunaan simbol mental untuk menyatakan objek, orang dan peristiwa yang dialami oleh kanak-kanak (Anselmo & Franz, 1995).
Melalui sastera juga perkembangan kognitif dapat diterapkan kepada kanak-kanak dengan cara memberikan pengetahuan baru dan mempertingkatkan kefahaman kanak-kanak terhadap pengetahuan yang sedia ada. Buku kanak-kanak membekalkan banyak maklumat yang kanak-kanak tidak boleh dapati daripada penerokaan dan pemerhatian persekitaran mereka.  Melalui buku kanak-kanak boleh mecari nama saintifik sesuatu tumbuhan, maklumat tambahan mengenai apa jua bidang yang mereka sedang kaji, mengetahui maklumat mengenai kanak-kanak yang  berada di nagara lain dan bermacam-macam pengetahuan.  Dengan adanya ensiklopedia kanak-kanak di bilik darjah akan membantu kanak-kanak yang boleh membaca untuk mencari maklumat secara berdikari.  Buku-buku tersebut memenuhi sifat semulajadi kanak-kanak yang ingin tahu bagaimana sesuatu terjadi.  Dengan membacakan kepada mereka buku-buku sebegini membantu pemikiran kritikal kanak-kanak untuk berkembang. Buku-buku konsep seperti buku yang memperkenalkan abjad, bentuk, warna, binatang, buah-buahan, haiwan dan nombor amat berkesan dalam pendidikan di peringkat awal kanak-kanak ini.  Guru boleh menggunakan buku konsep sebagai bahan yang menyokong pengajaran sesuatu tema yang diperkenalkan dalam kurikulum mereka. Namun begitu bentuk persembahan buku konsep perlu dibuat dengan lebih kreatif dan bermakna agar tidak membosankan.
          
Perkembangan Personaliti
Noriati A. Rashid et al .(2013) menyatakan bahawa objektif perkembangan sosioemosi Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah untuk membolehkan kanak-kanak membina kemahiran emosi untuk memahami diri dan orang lain.  Adalah diharapkan kanak-kanak akan mengamalkan tingkah laku yang baik dan mempunyai konsep kendiri yang positif serta membina kemahiran sosial dalam kehidupan bermasyarakat. Namun begitu perkembangan sosioemosi adalah lebih bersifat kurikulum berbentuk objektif jangka panjang dan lebih bersifat afektif. Pada usia prasekolah ini juga merupakan usia terbentuknya tentang kepercayaan tentang sikap kendiri dan juga penilaian kendiri tentang apa yang mereka boleh lakukan. Kanak-kanak yang tahu bahawa individu yang rapat dengannya begitu menghargai dirinya akan mendapat sikap mempercayai diri sendiri (Wardel, 2003). Oleh itu guru dan ibubapa boleh menggunakan bahan-bahan kesusasteraan bagi membentuk sikap kendiri kanak-kanak di usia ini. 
Ini kerana menurut teori perkembangan emosi kanak-kanak oleh Erickson, kanak-kanak di peringkat pertamanya adalah diperingkat percaya lawan tidak mempercayai. Sifat mempercayai  wujud apabila orang yang rapat dengan kanak-kanak menunjukkan kasih sayang mereka kepada kanak-kanak (Tan et al., 2003) yang boleh dilakukan melalui aktiviti membaca secara kuat.  Pada peringkat seterusnya, kanak-kanak mahukan autonomi, mahu membuat eksplorasi sendiri dan mahu mengawal yang lawannya ialah rasa ragu-ragu.  Peringkat ketiga pula kanak-kanak mempunyai perasaan inisiatif lawan rasa bersalah.  Buku cerita boleh juga digunakan sebagai satu sumber bagi memberi panduan kepada kanak-kanak mengenai personaliti yang baik dan sesuai bagi kanak-kanak yang sebaya dengan mereka (Lynch- Brown, 1999).  Melalui pembacaan buku kanak-kanak akan membuat pertimbangan samada pelakuan watak di dalam buku itu bersesuaian atau tidak dan membuat pemilihan samada untuk dijadikan tauladan atau sempadan.  Kanak-kanak juga akan belajar memahami perasaan mereka sendiri, menghargai diri sendiri dan belajar bagaimana untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka secara bersesuaian dan berkesan.     

Perkembangan Kerohanian dan Moral
Kanak-kanak akan dapat pengajaran mengenai sebab dan akibat sesuatu perlakuan menerusi pembacaan .  Sepertimana yang dinyatakan oleh Kohlberg kanak-kanak pada ketika ini ingin melakukan sesuatu kerana takutkan hukuman dan inginkan balasan yang baik. Untuk orientasi seperti ini cerita yang menggambarkan perbuatan baik dibalas baik dan perbuatan jahat mendapat balasan buruk akan memberi pengajaran kepada kanak-kanak.  Oleh itu cerita-cerita yang berbentuk tauladan amat sesuai untuk peringkat usia kanak-kanak ketika ini. Melalui cerita juga kanak-kanak akan mendapat contoh-contoh perwatakan kanak-kanak yang dikatakan baik yang menjadi idola yang ingin diikuti oleh mereka. Buku-buku yang banyak mengambarkan perlakuan prososial ini bolehlah dijadikan panduan oleh kanak-kanak yang sememangnya mencari-cari model yang baik yang boleh ditiru oleh mereka. Melalui pembacaan buku, kanak-kanak memperkukuhkan lagi konsep keadilan iaitu kanak-kanak dapat membuat penilaian mengenai perasaan orang lain. Mereka belajar memikirkan mengenai orang lain juga dan belajar bertolak ansur dalam kehidupan.  Jadi mereka harus tahu bagaimana mengambil giliran, meminta izin, berkongsi sesuatu, mempelawa, dan lain-lain yang pada mulanya agak sukar dilakukan bagi usia mereka yang boleh digambarkan melalui perwatakan di dalam buku cerita kanak-kanak.
            Dari sudut kerohanian pula sememangnya sastera kanak-kanak sememangnya kaya dengan cerita-cerita anbiya dan juga kisah-kisah nabi. Guru boleh menggunakan cerita-cerita ini sebagai cara menyemaikan sifat kerohanian kepada kanak-kanak melalui kisah dan tauladan.  Guru-guru juga perlu memastikan buku-buku tersebut adalah yang mudah difahami oleh kanak-kanak dan guru boleh memperkenalkan istilah-istilah baru yang harus dipelajari oleh kanak-kanak dalam kurikulum kerohanian prasekolah. Bagi amalan-amalan dalam agama Islam seperti ibadah dan sebagainya boleh disampaikan menggunakan buku yang menerangkan perkara ini dengan jelas supaya mudah diikuti oleh kanak-kanak yang beragama Islam.

Perkembangan Sosial
Komponen Perkembangan Sosioemosi memberi fokus kepada penguasaan emosi dan kemahiran sosial yang matang.  Pada zaman ini kehidupan menjadi bertambah kompleks dan ini mengakibatkan kanak-kanak turut menerima sedikit sebanyak tekanan.  Kanak-kanak memerlukan contoh bersosialisasi yang baik, dan mempelajari  bagaimana untuk bersosialisasi dengan baik di dalam masyarakat.  Dengan menggunakan buku, kanak-kanak akan melihat apa yang dilakukan oleh watak-watak di dalam buku bagi menyesuaikan diri di dalam kehidupan harian.  Melalui model-model yang baik yang terdapat dalam buku cerita kanak-kanak mempelajari bagaimana hendak menangani isu-isu kehidupan. Menurut Tan et al (2003), secara amnya pembentukan pelakuan berlaku melalui proses mengenal pasti dan peniruan. Menurut Bandura (Tan et al, 2003), kanak-kanak mempelajari sesuatu perlakuan melalui proses pemerhatian dan peniruan.  Beliau telah banyak menjalankan kajian mengenai proses pemerhatian dan peniruan di dalam bilik darjah dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Dapatan kajian beliau menunjukkan kebanyakan pembelajaran manusia berlaku melalui proses pemerhatian dan peniruan.  Menurut Piaget, kanak-kanak berusia dua tahun hingga keenam tahun bersikap egosentrik iaitu terlalu mementingkan dirinya sendiri. Walau bagaimanapun semakin meningkat usia mereka , pemikiran mereka mula berkembang dan mereka telah mula memahami orang lain (Tan et al, 2003). 
Peniruan boleh berlaku menerusi pembacaan terhadap  karya sastera kanak-kanak. Hal ini demikian kerana,  karya sastera kanak-kanak erdapat perlakuan-perlakuan yang prososial seperti bertolak ansur, menunggu giliran, meminta izin, memohon maaf dan sebagainya. Justeru itu, kanak-kanak akan mempelajari dan mencontohi tingkah laku yang betul dan yang boleh diterima oleh masyarakat.  Tambahan pula kanak-kanak di usia ini masih baru dalam proses bersosialisasi dan amat memerlukan contoh yang perlu diikuti oleh mereka. Melalui buku cerita juga kanak-kanak mempelajari mengenai perbezaan-perbezaan individu terutamanaya dalam konteks masyarakat yang berbilang kaum.  Melalui buku kanak-kanak akan mempelajari terdapat persamaan di antara mereka dengan rakan-rakan yang berlainan kaum seperti menyukai makanan atau mainan yang sama dan sebagainya dan terdapat perbezaan dari segi agama, rupa fizikal, budaya dan lain-lain lagi. Melalui cerita-cerita sebegini akan dapat menyatu-padukan masyarakat berbilang-bilang bangsa sejak dari usia muda lagi.
Begitu juga melalui perwatakan di dalam buku kanak-kanak akan mengetahui cara yang baik bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka, kemarahan mereka, kesedihan mereka dan kegembiraan mereka melalui cara yang sesuai.  Melalui model yang ditunjukkan oleh watak-watak di dalam buku cerita  tersebut kanak-kanak secara tidak langsung mempelajari bagaimana menangani masalah emosi mereka dengan cara yang sesuai (Lynch-Brown & Tomlinson,1999).  Ilustrasi juga dapat memainkan peranan dalam perkembangan emosi kanak-kanak  kerana ilustrasi di dalam buku berupaya menunjukkan perlakuan perlakuan positif dan negatif sesuatu watak.  Ilustrasi yang baik akan menunjukkan emosi watak melalui mimik muka, perlakuan serta personaliti watak yang dapat diperhatikan oleh kanak-kanak.  Oleh kerana gambar ini tidak bergerak, ianya boleh diamati oleh kanak-kanak dan secara tidak langsung berlakulah peniruan. Oleh itu pelukis ilustrasi haruslah menggunakan peluang ini seluas-luasnya dalam menyampaikan tunjuk ajar yang positif kepada kanak-kanak.

Perkembangan Kreativiti dan Estetika
Komponen kreativiti dan estetika memberi fokus kepada memperkembangkan sifat kreatif dan ekspresif melalui imaginasi dan pemikiran (Noriati A. Rashid et al., 2013). Guru-guru seharusnya membantu kanak-kanak memperkembangkan pontesi kreativiti mereka dengan mengadakan peluang untuk mereka mengambil bahagian dalam aktiviti kesenian yang menggunakan daya imaginasinya (Glaser, 2000).  Guru yang baik memperkenalkan bentuk kesenian yang baru kepada kanak-kanak serta mengembangkan kemahiran ekspresi mereka secara beransur-ansur agar kanak-kanak dapat mengadaptasi maklumat baru dan menguasai teknik-teknik baru serta menggalakkan kanak-kanak menggunakan segala pontensi diri mereka yang kreatif.
            Potensi diri yang kreatif adalah cara penyelesaian masalah yang kreatif.  Guru boleh menggalakkan dengan mengadakan suasana yang selamat di dalam bilik darjah agar kanak-kanak suka untuk menyuarakan pendapat dan idea mereka.  Selalu bertanyakan soalan dan mengadakan aktiviti yang bersifat terbuka supaya kanak-kanak dapat menjawabnya dengan pelbagai jawapan dan cara (Wardel, 2000). Kanak-kanak prasekolah memberikan respon kepada pelbagai bentuk seni.  Tunjukkan kepada kanak-kanak yang setiap artis mempunyai cara tersendiri untuk melukis ilustrasinya. Ini ditunjukkan melalui lukisan daripada pelbagai artis yang terkenal. Bantu kanak-kanak membuat pemerhatian dan membezakan hasil satu artis dengan artis yang lain. Sebagai lanjutan, libatkan kanak-kanak dalam aktiviti seni yang berkaitan dengan teknik yang digunakan oleh artis di dalam buku cerita.
            Kanak-kanak pada usia ini juga suka menggunakan sensori motor dalam meneroka alam sekitar.  Pembacaan buku yang mengenai penggunaan sensori motor amat penting mereka. Begitu juga kanak-kanak gemar menyanyikan lagu-lagu kegemaran mereka.  Menurut Wardel, 2000), gunakan buku yang mempunyai lirik lagu dan perdengarkan iramanya kepada kanak-kanak atau guru boleh juga menggunakan cakera padat yang berunsurkan karaoke kepada kanak-kanak. Sambil mendengar lagu atau puisi galakkan juga kanak-kanak membuat pergerakan kreatif. Kanak-kanak pada usia ini juga suka menggunakan daya imaginasi mereka. Rancang pembacaan buku yang mempunyai pelbagai jalan penyelesaian dan minta pendapat kanak-kanak cara penyelesaian mereka.  Dengan melakonkan semula cerita yang telah dibaca juga akan membantu imaginasi kanak-kanak.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran