Jenis-jenis Improvisasi

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin


Peter Moore (1998) menyarankan enam jenis aktiviti improvisasi untuk kanak-kanak mengikut peringkat umur. Aktiviti tersebut adalah seperti yang berikut:

Jenis-jenis Improvisasi
Huraian
Permainan Bebas
Permainan bebas sesuai untuk kanak-kanak prasekolah dan Tahap 1. Guru sediakan peralatan atau objek, sediakan situasi yang tertentu dan galakkan kanak-kanak bermain secara bebas dengan dipantau oleh guru. Guru bolehlah menciptakan senario atau cerita berdasarkan peralatan tersebut. Peringkatkan permainan dengan objek yang lebih bermakna dan berwatak seperti anak patung/ boneka, dan kostum yang dapat menyarankan perwatakan tertentu.
Improvisasi Spontan
Guru sediakan bahan rangsangan tertentu untuk kanak-kanak memberikan tindak balas secara spontan berdasarkan kesesuaian dengan situasi yang diberikan. Murid-murid dibantu dan digalakkan untuk menyelesaikan masalah, membuat keputusan, mendengar serta mengamati pendapat orang lain. Guru juga harus membantu dan menggalakkan kanak-kanak melakukan tugas secara kolaboratif, berfikir secara kreatif dan imaginatif serta melahirkan idea, dan membina idea baru berdasarkan idea orang lain. Namun begitu perlu diingatkan bahawa improvisasi spontan bukan bertujuan untuk membuat persembahan. Perkara utama ialah menggalakkan perkongsian idea, melibatkan luahan perasaan, interaksi antara watak serta prosedur terhadap resolusi sesuatu situasi yang dihadapi.
Improvisasi Verbal
Kanak-kanak digalakkan untuk mencipta monolog dan dialog berdasarkan petikan dialog dalam sesebuah cerita. Murid juga boleh menyambungkan dialog tersebut untuk menggambarkan situasi yang difikirkan sesuai seperti  memujuk, merayu, mengarahkan, memohon sesuatu, dan seumpamanya dengan ekspresi dan gaya pengucapan yang sesuai. Aktiviti ini dapat dilaksanakan secara individu, berpasangan atau berkumpulan. 
Main Peranan
Dalam aktiviti ini, murid hendaklah berpura-pura menjadi seseorang yang lain dan berlainan dengan dirinya.  Mereka diberikan peranan tertentu dan meminta kanak-kanak memikirkan cara untuk beraksi dan memberikan respons terhadap sesuatu situasi. Untuk menghayati watak yang diberikan, murid  perlu dilatih untuk melakukan justifikasi terhadap watak dengan mengemukakan beberapa soalan seperti  nama penuh watak,  umur ,latar belakang keluarga, pekerjaan, sikap dan tingkah laku, hobi atau minat, keadaan kesihatan, dan pelbagai kemungkinan tentang peribadi watak yang di lakonkan. Di samping itu murid perlu  digalakkan untuk,  menulis deskripsi watak, melukis potret, dan membuat kostum dan memilih props yang sesuai untuk kegunaan watak. Guru boleh memilih peranan berdasarkan watak daripada orang persekitaran murid, cerita rakyat, cerita yang pernah dibaca di dalam kelas, drama atau filem yang pernah ditonton serta berdasarkan gambar.
Improvisasi Terlatih
Improvisasi ini berbeza dengan yang lain kerana improvisasi ini menggalakkan kanak-kanak membuat persembahan. Kanak-kanak diberi tajuk, tema, atau situasi tertentu untuk dibincangkan dan menghasilkan sesuatu persembahan. Murid diberikan tempoh masa untuk perbincangan kumpulan dan selepas berbincang mereka diminta mementaskan hasil perbincangan tersebut.
Improvisasi Selari
Improvisasi berdasarkan situasi sebenar atau yang telah benar-benar diketahui untuk meneroka isu-isu baru. Contohnya menggunakan pengalaman membuat persiapan untuk bercuti  seperti menyediakan pakaian dan sebagainya  dan menggunakan pengalaman tersebut untuk persiapan sekumpulan saintis yang hendak mengadakan ekspedisi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Binaan Plot