Pengenalan kepada Proses Kreatif


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Proses kreatif bermaksud seseorang individu dapat atau berkemampuan mencipta atau menghasilkan sesuatu (Kamus Dewan, 2013). Hal ini bermaksud bahawa setiap manusia yang kreatif mampu atau berkebolehan mencipta apa-apa sahaja yang dirasakannya sama ada daripada dalaman atau luaran. Hasil kreatif yang dimanifestasikan itu mencerminkan usaha seseorang dalam penciptaan sesuatu sama ada hasil sastera atau hasil bukan sastera. Dalam proses kreatif, kebiasaannya manusia bersifat egosentris, iaitu sifat untuk memenuhi naluri dan memperjelas pendiriannya. Perkara ini bermakna bahawa proses kreatif akan mengalami perkembangan meditasi untuk mencari realiti kemanusiaan.
Dalam penciptaan sesuatu, kekreatifan seseorang sentiasa merujuk kepada proses kreatif yang dialaminya (Wan Zarina Wan Othman dan Ratna Laila Sahidin, 2017). Proses kreatif bagi setiap individu adalah berbeza-beza mengikut pengalaman yang dilalui oleh setiap individu tersebut. Menurut Dannanto, setiap orang adalah berbeza-beza. Beliau mengatakan bahawa:
Setiap orang telah diciptakan berbeza-beza. Terdapat pepatah yang menyatakan bahawa “tidak ada orang yang sama.” Ahli-ahli ethologi melihat perbezaan-perbezaan ini bukan sekadar perbezaan keturunan antarspesies dalam proses evolusi yang panjang, namun sampai ke masing-masing anggota spesies. Dalam pengamatan para ahli perilaku alami ini, maka secara alamipun tidaklah dimungkinkan lahirnya karya seni yang sama.”
(Darmanto, 1985: 112)
Terdapat individu yang melakukan proses kreatifnya dalam jangka masa yang pendek dan ada juga antara mereka yang memerlukan masa yang sangat panjang. Kebiasaannya, tempoh laluan proses kreatif ini membolehkan seseorang memanifestasikan sesuatu dengan lebih baik bermula dari awal sehingga berakhirnya proses tersebut. Hal ini menjelaskan bahawa proses kreatif dilalui oleh insan dengan penuh sedar terhadap aspek-aspek yang bersangkutan dengan dirinya. Segala yang dialami, dinikmati, dirasai, dan dihayati serta dimanipulasikan dalam keadaan yang masih waras seterusnya diadunkan bersama-sama untuk menghasilkan sesuatu produk sastera seperti penulisan sastera kreatif.
Proses kreatif sudah pasti berperanan untuk membentuk dan menyampaikan sesuatu yang bermanfaat kepada manusia. Proses kreatif melalui penulisan memerlukan komitmen dan kesungguhan yang tinggi untuk memberikan manfaat dan melahirkan kelangsungan peranan penulis kepada pembaca. Pembacaan ini membantu memberikan ilham dan mematangkan seseorang untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu. Peranan yang ditampilkan oleh proses kreatif ini dapat diteliti menerusi pembacaan mendalam terhadap karya-karya yang dihasilkan lebih awal. Peranan proses kreatif pula terbahagi kepada dua bahagian, iaitu peranan secara intrinsik (dalaman) dan peranan secara ekstrinsik (luaran).

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Binaan Plot