Pengenalan kepada Sastera Kanak-kanak





Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Menurut Hadijah Rahmat (2006), sastera awal kanak-kanak merujuk kepada hubungan kanak-kanak dengan hasil kreatif iaitu buku atau bahan bacaan dan cerita. Hubungan tersebut boleh dalam bentuk mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Pada peringkat awal kanak-kanak, bahan seperti buku-buku bergambar yang berwarna dan bahan bacaan yang diaplikasikan dengan bahan audio visual perlu diperbanyak untuk menarik minat kanak-kanak membaca. Bahan tersebut sangat penting kerana kebolehan membaca banyak bergantung kepada ketajaman deria pendengaran dan deria penglihatan kanak-kanak. Kanak-kanak perlu didedahkan dengan aktiviti membaca buku cerita, melihat pelbagai jenis buku, ditunjukkan cara menjaga buku dan mengumpulkan buku pelbagai warna. Hal ini boleh berlaku kerana pada usia lima tahun, kanak-kanak telah mula menguasai asas-asas bahasa seperti semantik, sintaksis dan pragmatik. Asas-asas bahasa ini akan terus berkembang mengikut pertambahan umur mereka. Satu konsep yang penting dalam pendidikan berhubung dengan pembacaan ini ialah kanak-kanak ini harus disediakan dengan kesediaan atau persiapan sebelum membaca.
Md. Sidin Ahmad Ishak (2005) menyatakan bahawa sastera kanak-kanak mempunyai tafsiran yang agak luas dan umum. Karya puisi, novel, drama, segala bentuk penerbitan dan penulisan yang memberikan manfaat kepada kanak-kanak adalah merupakan sastera kanak-kanak. Buku pendidikan dan pengetahuan am juga merupakan salah satu sastera kanak-kanak. Kanak-kanak secara semula jadi memang memiliki kecenderungan terhadap cerita. Penggunaan cerita dalam pembelajaran merupakan salah satu metodologi yang efektif untuk membolehkan kanak-kanak memahami sesuatu konsep. Dalam hal ini, cerita boleh dianggap sebagai medium yang membantu ke arah membimbing, mendidik dan melatih kanak-kanak. Sastera kanak-kanak merupakan bidang yang sangat menarik dan penting kerana peranannya dalam perkembangan kognitif, sosial dan emosi kanak-kanak. Penghasilan karya sastera kanak-kanak tidak berfokus terhadap pemikiran orang dewasa. Hal ini demikian kerana, pemikiran dan perkembangan antara kanak-kanak adalah berbeza-beza mengikut umur, jantina, dan perkembangan kognitif mereka.
Sastera kanak-kanak adalah karya sastera yang dihasilkan dalam bentuk buku yang boleh dibaca oleh kanak-kanak mengikut peringkat umur dan mampu menimbulkan keseronokan kepada mereka untuk membaca dan menghayati cerita-cerita dalam buku tersebut (Ani Omar, 2012). Bagi mencapai tahap tertinggi nilai sastera dan estetika karya, penghasilan sastera awal kanak-kanak ini dilakukan dalam bentuk tulisan dan ilustrasi. Sastera awal kanak-kanak merupakan salah satu elemen yang dikenal pasti berupaya melengkapkan perkembangan seseorang kanak-kanak pada peringkat awal. Ini kerana, sastera awal kanak-kanak mampu memberi keseronokan, dapat merangsang imaginasi, dapat membantu kanak-kanak mengenal dan memahami diri sendiri, memahami bahasa secara semula jadi, membantu mendapatkan maklumat dan memupuk nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak. Secara holistik, sastera kanak-kanak membantu dalam perkembangan kanak-kanak kerana merangsang proses kreatif dan imaginatif dalam kalangan kanak-kanak.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran