Pengenalan kepada Modul Seni Bahasa dan Tatabahasa KSSR
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Standard Kurikulum Bahasa Malaysia distrukturkan dengan menggunakan
pendekatan modular untuk memastikan penguasaan kecekapan berbahasa yang baik
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2010). Pendekatan modular bermaksud
memecahkan kemahiran kepada unit-unit kecil yang dikenali sebagai modul.
Terdapat lima modul dalam Standard Kurikulum Bahasa Malaysia iaitu Modul
Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Modul Kemahiran Membaca, Modul Kemahiran
Menulis, Modul Seni Bahasa dan Modul Tatabahasa. Modul Seni Bahasa dan Modul
Tatabahasa menyokong Modul Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Modul Kemahiran
Membaca, Modul Kemahiran Menulis untuk mengukuhkan kecekapan berbahasa dalam
kalangan murid.
Modul Seni Bahasa merujuk aspek kebahasaan, keindahan dan kehalusan
dalam bahasa Melayu yang perlu difahami dan dikuasai oleh murid. Penguasaan
aspek seni bahasa merangkumi kecekapan memahami, mengungkap dan menghayati
bahasa yang indah. Melalui pembelajaran modul ini, murid menghasilkan dan
mempersembahkan karya kreatif pelbagai genre secara lisan dan bertulis melalui
variasi teknik yang menarik. Aspek seni bahasa juga menzahirkan pembelajaran
yang menyeronokkan secara didik hibur.
Modul Tatabahasa merujuk aspek morfologi dan sintaksis bahasa Melayu
yang perlu difahami dan dikuasai oleh murid. Aspek ini perlu diajarkan melalui
pengajaran yang terancang dengan teknik yang sesuai dan berkesan supaya murid
memahami dan menggunakan tatabahasa dengan betul dan tepat dalam pelbagai
konteks secara lisan dan bertulis. Perkara tersebut adalah penting kerana
menerusi penggunaan tatabahasa yang betul, murid dapat menguasai kemahiran
bahasa dengan baik.
Ulasan
Catat Ulasan