Peribadi Kreatif


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Setiap manusia akan melalui beberapa proses kreatif ketika menghasilkan karya masing-masing. Tanpa proses kreatif, hasil yang dicerna mungkin kurang bermutu kerana kekurangan bahan yang mantap. Untuk menghasilkan sesuatu bahan sama ada bahan penulisan atau bahan kreativiti yang lain, setiap manusia mempunyai pegangan, aliran, dan ideologi tersendiri bermula daripada proses pengumpulan bahan sehingga selesai sesuatu kreativiti yang dihasilkan tersebut. Proses kreatif yang dilalui oleh individu kreatif menggambarkan corak pemikiran masing-masing. Idea yang ada disalurkan dalam bentuk dan gaya tersendiri berasaskan tuntutan dan desakan dalam diri masing-masing. Individu yang kreatif mungkin mengambil masa yang singkat atau sebaliknya dalam proses penghasilan sesuatu bahan. Hal ini bergantung kepada kesediaan dan kesungguhan yang ada pada diri mereka.
Kadangkala idea-idea yang hadir dalam pemikiran individu kreatif tidak disedari dan dilahirkan secara spontan. Pemikiran yang datang secara tiba-tiba ini adalah perkara biasa yang dialami oleh individu kreatif. Untuk memantapkan lagi bahan-bahan yang dihasilkan, mereka akan membuat penelitian dan mengkaji sesuatu isu yang hadir dalam pemikiran mereka. Langkah seperti ini memberikan kepuasan kepada mereka seterusnya mampu menghasilkan bahan yang bermutu tinggi.
Walaupun individu kreatif sering dianggap sebagai manusia yang mempunyai daya atau darjah pemikiran yang berlainan: namun mereka masih lagi berpegang kepada langkah-langkah tertentu. Meskipun banyak tanggapan yang dilontarkan kepada insan kreatif tetapi mereka tetap dengan cara yang tersendiri dalam menyuarakan dan mengetengahkan sesuatu isu terutama dalam bidang penulisan kreatif menerusi karya-karya seperti cerpen, drama, novel, sajak, dan sebagainya. Insan-insan kreatif melahirkan idea dalam pelbagai gaya dan terdapat juga dalam kalangan mereka yang menulis untuk meluahkan perasaan geram kepada individu lain. Namun, setiap idea yang disusun dan ditulis dianalisis lebih dahulu agar idea tersebut benar-benar memberikan manfaat kepada semua orang. Walau apa-apa jua proses yang dilalui oleh individu kreatif, namun mereka mempunyai ciri-ciri tersendiri yang mendorong dan menggerakkan mereka untuk berkarya dengan lebih serius.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran