Hubungan Etnik Berdasarkan Perspektif Ekonomi

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin


Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman et al. (2002), masyarakat Melayu tradisional menjalankan aktiviti ekonomi sara diri. Kedatangan pihak British telah mentransformasi sistem ekonomi tradisional masyarakat Melayu pada ketika itu. Hal ini demikian kerana, pihak British telah memperkenalkan sistem ekonomi dagangan yang melibatkan lebihan pengeluaran untuk tujuan pemasaran serta memperkenalkan beberapa dasar terhadap aktiviti pertanian masyarakat Melayu. Menerusi kewujudan sistem ekonomi dagangan tersebut, British telah mengimport buruh dari negara China dan India untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja pada masa tersebut yang menyebabkan wujudnya masyarakat majmuk di Tanah Melayu. Tindakan pihak British telah menyebabkan wujudnya jurang perkauman antara masyarakat yang terdapat di Tanah Melayu pada ketika itu. Dalam hal ini, pihak British telah mengasingkan masyarakat di Tanah Melayu mengikut aktiviti ekonomi tertentu. Keadaan tersebut menyebabkan wujudnya aktiviti ekonomi berasaskan kaum yang menyebabkan wujudnya jurang sosial yang memberi impak negatif terhadap perpaduan masyarakat majmuk di Tanah Melayu. Untuk mengatasi permasalahan tersebut, pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh pihak kerajaan untuk memastikan hubungan etnik antara kaum terpelihara dalam konteks ekonomi.
            Rusuhan kaum yang telah berlaku pada 13 Mei 1969 adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan ekonomi antara masyarakat pelbagai kaum. Ketidakseimbangan ekonomi antara kaum telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat majmuk (Azman Abdul Manaf, 2001). Terdapat perbezaan ekonomi yang ketara di antara masyarakat luar bandar yang majoriti penduduknya terdiri daripada kaum Melayu dengan kaum Cina yang menjalankan aktiviti ekonomi komersial (Abdul Halim Ramli, 2009). Hal ini demikian kerana, masyarakat Melayu pada ketika itu kurang terlibat dalam sektor pekerjaan profesional berbanding dengan kaum Cina. Keadaan tersebut telah menyebabkan berlakunya konflik dalaman antara masyarakat majmuk terutamanya kaum Melayu dan Cina yang telah menyebabkan perpaduan antara kedua-dua kaum tersebut terjejas. Disebabkan peristiwa tersebut, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baharu pada tahun 1970 sehingga 1990 untuk mengatasi permasalahan tersebut. Tujuan utama pengenalan Dasar Ekonomi Baharu adalah untuk menstrukturkan semula masyarakat dan menghapuskan aktiviti berasaskan kaum. Penstrukturan tersebut dapat memberi peluang kepada semua kaum untuk menikmati kekayaan negara dan mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyrakat majmuk di Malaysia. Menerusi penstrukturan masyarakat tersebut, sektor ekonomi di Malaysia kini tidak lagi berdasarkan kaum. Sebagai contoh, sektor perniagaan di negara tidak lagi didominasi oleh kaum Cina, tetapi juga oleh kaum-kaum yang lain. Deduksinya, penghapuskan sektor ekonomi berasaskan kaum menyumbang ke arah pemupukan integrasi nasional dalam kalangan rakyat di negara ini.
Kerajaan juga turut memberikan pelbagai bantuan kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama untuk memastikan hubungan etnik antara kaum terus terpelihara. Pemberian tersebut secara tidak langsung meningkatkan produktiviti pelbagai sektor ekonomi antara masyarakat sama ada di bandar dan luar bandar. Hal ini demikian kerana, bantuan yang kerajaan berikan tersebut dapat meningkatkan kuasa beli masyarakat. Dengan itu, masyarakat majmuk dapat memaksimumkan kepuasan masing-masing menerusi peningkatkan kualiti hidup. Inisiatif kerajaan ini dilihat sebagai satu langkah efektif dalam mengurangkan jurang ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Hal ini demikian kerana, bantuan yang kerajaan berikan tersebut tidak memberi fokus terhadap sesuatu kaum sahaja sebaliknya melibatkan semua jenis kaum yang terdapat di Malaysia. Setiap kaum berasa tidak tersisih daripada menikmati bantuan yang diberikan oleh kerajaan. Perkara tersebut mewujudkan rasa kesaksamaan dalam kalangan masyarakat majmuk signifikan dengan konsep 1Malaysia yang oleh Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato Sri Najib Tun Abdul Razak. Antara bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat untuk mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia, Baucar Buku 1Malaysia, Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia dan Bantuan Persekolahan 1Malaysia. Oleh yang demikian, pemberian bantuan tanpa mengira aspek perbezaan kaum oleh kerajaan secara tidak langsung dapat mengelakkan perasaan prejudis dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Penyediaan peluang pekerjaan tanpa mengira perbezaan kaum dan agama juga merupakan salah satu langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memastikan hubungan kaum terpelihara. Hal ini dapat dilihat menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas 2016-2020 (RMKe-11) yang menekankan dasar inklusiviti ke arah mewujudkan masyarakat yang saksama. Menurut Mohd Ashraf Ibrahim et al. (2015), inklusiviti merupakan suatu dasar yang tidak mengecualikan sesiapa dari merasai atau dari mendapat manfaat pembangunan negara. Dalam konteks Malaysia, dasar inklusiviti diperkenalkan untuk memastikan masyarakat pelbagai kaum di negara ini memperoleh faedah hasil daripada pembangunan negara. Berdasarkan pernyataan tersebut, kerajaan menekankan dasar inklusiviti dalam mewujudkan peluang pekerjaan. Dalam hal ini, peluang pekerjaan yang disediakan tidak lagi berfokus mengikut kaum-kaum tertentu sahaja. Perkara ini dapat dilihat menerusi program Skim Latihan 1Malaysia. Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) telah dilancarkan pada 1 Jun 2011 adalah satu program kebolehpasaran yang bertujuan untuk membantu graduan meningkatkan tahap keupayaan diri dengan mempersiapkan mereka dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja seterusnya meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan. Intihanya, pelaksanaan program Skim Latihan 1Malaysia yang menekankan prinsip kesaksamaan dalam konteks peluang pekerjaan dapat mengelakkan daripada berlakunya ketidakseimbangan ekonomi antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Ketidakseimbangan ekonomi antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak turut diatasi oleh kerajaan untuk mewujudkan hubungan etnik yang positif dalam konteks negara Malaysia menerusi pengenalan sistem gaji minimum. Menurut Dzulkifli Abdul Razak (2009), terdapat jurang pendapatan yang ketara antara penduduk di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Kewujudan jurang pendapatan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Pelaksanaan sistem gaji minimum memberi kesan positif bagi membolehkan kerajaan menyediakan perlindungan sosial kepada pekerja di seluruh negara tanpa mengira perbezaan demografi. Penguatkuasaan gaji minimum adalah aspek penting untuk memberi manfaat kepada warga pekerja terutama golongan berpendapatan rendah. Sebagai contoh, pihak kerajaan telah menetapkan kadar gaji minimum RM1 000 bagi Semenanjung dan RM 920 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan setelah mempertimbangkan  bebanan kos sara hidup, di samping kos operasi yang perlu ditanggung majikan yang berjaya mengurangkan jurang pendapatan di Malaysia. Ringkasnya, pelaksanaan sistem gaji minimum mengurangkan jurang pendapatan dalam kalangan rakyat di negara ini secara tidak langsung mengelakkan daripada timbulnya perasaan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
 Secara holistik, pengenalan sistem ekonomi komersial oleh pihak British telah meninggalkan implikasi negatif terhadap perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perkara tersebut dapat dilihat apabila wujudnya peristiwa 13 Mei 1969 yang mengakibatkan perpecahan kaum pada ketika itu. Faktor utama yang menyebabkan peristiwa tersebut berlaku ialah wujudnya ketidakseimbangan ekonomi. Untuk mengatasi permasalahan tersebut, pihak kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baharu yang mana menstrukturkan masyarakat. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu telah menghapuskan konsep ekonomi berasaskan kaum. Dalam pemberian bantuan juga, kerajaan tidak memberi fokus terhadap kaum tertentu sahaja, tetapi memberi bantuan secara saksama terhadap semua kaum bertepatan dengan konsep 1Malaysia yang menjadi asas perpaduan. Dasar inklusiviti yang ditekankan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas 2016-2020 (RMKe-11) dilihat efektif dalam usaha kerajaan untuk mengurangkan jurang ekonomi antara kaum. Oleh yang demikian, pelaksanaan dasar ekonomi adalah penting untuk mewujudkan hubungan etnik dalam konteks masyrakat majmuk di Malaysia.       

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran