Konsep Kreativiti

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin


Wan Zarina Wan Othman dan Ratna Laila Sahidin (2017) menyatakan bahawa kreativiti merupakan suatu kelebihan dan kebolehan seseorang dalam setiap bidang yang diceburi. Insan yang dianugerahkan dengan kreativiti ialah insan yang diberikan kelebihan untuk mencari dan mencipta sesuatu yang unik. Kreativiti ini dapat mendatangkan manfaat kepada diri sendiri dan masyarakat sekeliling. Dalam bidang pendidikan, kreativiti amat dititikberatkan dan digalakkan kepada pelajar agar mereka dapat berfikir di luar daripada kebiasaan atau berfikir di luar kotak. Kreativiti ini menjadi fenomena jika sesuatu yang dihasilkan dapat menarik perhatian dan memberikan kesan langsung kepada orang ramai.
Kebolehan semula jadi yang dianugerahkan ini merupakan kebolehan kreatif yang mampu membawa seseorang kepada pencapaian yang lebih baik seterusnya membezakan mereka dengan kebanyakan individu di sekeliling mereka. Menurut Leonard M. S. Yong (1993), kreativiti ialah kebolehan kreatif secara semula jadi yang membawa perasaan istimewa dan eksklusif kepada diri individu tersebut. Menurut beliau lagi, kualiti inilah yang membezakan individu tersebut daripada kumpulan manusia yang kurang kreatif. Menurut Hizairi Othman (2000), manusia yang mempunyai kebolehan kreatif telah direkodkan sebagai manusia yang berbakat semula jadi yang dapat meletakkan manusia pada suatu tahap yang berbeza daripada manusia lain. Apa-apa sahaja bahan daripada proses kreatif yang terhasil dikatakan sebagai kreativiti. Definisi kreativiti merujuk kepada kesanggupan mencipta atau kemampuan untuk mewujudkan suatu kombinasi baharu.
Berdasarkan Kamus Dewan (2013), kreativiti bermaksud kemampuan (kebolehan) mencipta daya kreatif. Kreativiti juga merujuk kepada proses kreatif yang dilalui oleh individu kreatif untuk memperlihatkan sesuatu yang berlainan daripada manusia biasa. Hal ini tidak bermaksud bahawa mereka mencuba melakukan sesuatu perkara yang luar biasa kerana mereka juga manusia biasa. Dalam hal ini, individu yang kreatif mempunyai cara tersendiri untuk memaparkan sesuatu yang dirasakan perlu dikongsi bersama-sama dengan orang lain. Walaupun insan kreatif mampu melahirkan pelbagai kreativiti, namun mereka masih lagi berpegang kepada langkah-langkah tertentu yang perlu dilalui. Proses tersebut perlu diikuti lantaran adanya sifat peka dan prihatin terhadap sesuatu yang mempengaruhi diri mereka. Kepekaan dan keprihatinan dalam diri individu kreatif ini didorong oleh sikap mereka yang ingin menyampaikan sesuatu yang bersesuaian dan relevan untuk dikongsi dengan orang lain.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran