Hubungan Etnik Berdasarkan Perspektif Politik


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Berdasarkan catatan sejarah, sistem politik masyarakat Melayu tradisional adalah berasaskan sistem feudalisme (Shamsul Amri Baharuddin, 2008). Kedatangan British telah menyebabkan sistem tersebut terhakis disebabkan oleh pengenalan beberapa dasar pemerintahan yang baharu. Perkara tersebut dapat dilihat menerusi kewujudan sistem residen di Negeri-negeri Melayu Bersekutu, sistem penasihat di Negeri-negeri Melayu tidak bersekutu dan sistem gabenor di Negeri-negeri Selat. Semasa penjajahan, British telah memperkenalkan beberapa dasar yang menyebabkan wujudnya jurang perpaduan antara masyarakat majmuk di Tanah Melayu pada ketika itu. Keadaan tersebut secara tidak langsung menghalang daripada wujudnya semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Setelah mencapai kemerdekaan, Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Demokrasi Berparlimen merujuk kepada sistem pemerintahan secara pembahagian kuasa kepada tiga bahagian dalam pemerintahan, iaitu perundangan, kehakiman dan pentadbiran. Pelaksanaan sistem Demokrasi Berparlimen ini dilihat menjadi platform yang signifikan dalam usaha untuk mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara. Terdapat pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh pemimpin negara dalam usaha untuk mewujudkan perpaduan dalam konteks politik.
Kerjasama masyarakat pelbagai kaum dalam konteks politik di negara ini dapat dilihat menerusi kewujudan Sistem Ahli pada era pramerdeka. Menurut Ramlah Adam et al. (2004), Sistem Ahli yang telah diperkenalkan pada tahun 1951 adalah untuk melatih masyarakat pelbagai kaum di Tanah Melayu pada ketika itu dalam sistem pentadbiran. Pelaksanaan Sistem Ahli adalah signifikan dengan hasrat British untuk menjalankan dasar dekolonisasi iaitu dasar pemberian bantuan ke arah berkerajaan sendiri kepada tanah jajahan. Sistem ahli dianggotai oleh masyarakat daripada pelbagai kaum di Tanah Melayu yang terdiri daripada Sembilan orang anggota, iaitu lima orang penduduk Tanah Melayu dan empat orang pegawai British. Daripada lima orang penduduk Tanah Melayu tersebut, tiga daripadanya merupakan orang Melayu, seorang Cina dan seorang India. Abdul Karim Abdullah dan Ghazali Basri (1979) menyatakan bahawa pelaksanaan Sistem Ahli merupakan usaha untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Tanah Melayu pada ketika itu. Hal ini demikian kerana, pelaksanaan Sistem Ahli melibatkan wakil daripada kaum bukan Melayu iaitu Cina dan India. Keanggotan Sistem Ahli yang melibatkan kaum Melayu, kaum Cina dan kaum India dalam pelaksanannya mencerminkan proses perpaduan kaum yang kukuh di Tanah Melayu pada ketika itu. Intihanya, Sistem Ahli menjadi asas hubungan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Tanah Melayu pada era pramerdeka.
Setelah pelaksanaan Sistem Ahli, permuafakatan politik dapat dilihat menerusi penubuhan Parti Perikatan. Mardiana Nordin dan Hasnah Hussin (2011) menyatakan bahawa penubuhan Parti Perikatan merupakan satu usaha parti-parti pelbagai kaum untuk mewujudkan kerjasama politik. Pemimpin parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) berpendapat bahawa penubuhan Parti Perikatan melahirkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat pelbagai kaum. Parti Perikatan telah dibentuk mengikut keperluan politik semasa secara berperingkat. Hasil daripada kerjasama tersebut, Parti Perikatan telah Berjaya memenangi majoriti kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya. Kerjasama antara pemimpin parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) menjadi cerminan terhadap usaha pemimpin politik Tanah Melayu pada ketika itu untuk mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Perkara tersebut dapat dibuktikan apabila masyarakat pelbagai kaum pada ketika itu meletakkan kepercayaan terhadap Parti Perikatan dalam memerintah Tanah Melayu menerusi kemenangan parti tersebut dalam beberapa pilihan raya. Oleh yang demikian, penubuhan Parti Perikatan yang dianggotai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) mejadi asas dalam melahirkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk pada ketika itu.
Sebaik sahaja Parti Perikatan memenangi pilihan raya umum pada peringkat persekutuan, parti tersebut berhasrat untuk mewujudkan satu perlembagaan bagi Tanah Melayu sebagai persediaan ke arah pemerintahan kendiri. Parti Perikatan telah bersetuju dengan pelantikan suruhanjaya bebas iaitu Suruhanjaya Reid untuk menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka bagi berlaku adil kepada semua kaum. Suruhanjaya Reid telah menerima sebanyak 131 memorandum daripada pelbagai pihak (Sheela Abraham, 1993). Setelah melakukan pertimbangan terhadap memorandum yang diterima, Suruhanjaya Reid telah mengeluarkan draf perlembagaan untuk dibahaskan oleh penduduk dan parti politik tempatan. Beberapa cadangan Suruhanjaya Reid yang asal terpaksa dipinda untuk memuaskan hati semua pihak. Setelah melalui beberapa proses, akhirnya pihak Suruhanjaya Reid telah menyenaraikan kandungan perlembagaan yang telah dipersetujui. Kandungan tersebut dipersetujui berdasarkan semangat tolak ansur dan permuafakatan antara kaum di Tanah Melayu. Persetujuan tersebut membolehkan pembentukan sebuah kerajaan yang demokrasi dengan konsep Raja Berperlembagaan. Pemimpin Melayu dan bukan Melayu menyokong pakatan tersebut kerana mereka menyedari bahawa pakatan tersebut akan mewujudkan perpaduan antara kaum di Persekutuan Tanah Melayu. Penggubalan perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu jelas menunjukkan semangat perpaduan dan toleransi yang tinggi dalam kalangan pemimpin pelbagai kaum. Konklusinya, penggubalan perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu jelas menunjukkan perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat majmuk.
Signifikan dengan pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, Parti Perikatan telah ditransformasikan menjadi Barisan Nasional yang kemudiannya menjadi parti multietnik utama di Malaysia pada tahun 1973. Hal ini demikian kerana, beberapa parti politik di Sarawak dan Sabah seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS). Dalam hal ini, penubuhan parti Barisan Nasional mewujudkan kerjasama politik dalam skop yang lebih luas kerana tidak hanya melibatkan kaum Melayu, kaum Cina dan kaum India, tetapi juga melibatkan bumiputera Sabah dan Sarawak (Maizatul Haizan Mahbob dan Mohamad Zain Musa, 2005). Penubuhan parti multietnik seperti Barisan Nasional dapat mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Hal ini kerana, parti politik tersebut bukanlah parti politik berasaskan kaum sebaliknya memperjuangkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini. Oleh yang demikian, penubuhan Parti Perikatan yang seterusnya digantikan oleh Barisan Nasional dapat mengukuhkan semangat perpaduan kaum.
Dalam usaha untuk mewujudkan hubungan etnik dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, pihak kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak memperkenalkan konsep 1 Malaysia. Intipati gagasan tersebut ialah idea pembentukan satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, subetnik dan kebudayaan. Keinginan kerajaan untuk melahirkan bangsa Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran arus modenisasi.  Aspek utama yang ditekankan dalam gagasan 1 Malaysia ialah sikap saling hormat-menghormati dan bersikap menerima antara satu sama lain. Dalam hal ini, masyarakat majmuk di Malaysia perlu disatukan melalui konsep 1Malaysia. Menurut Mat Zin Mat Kib et al. (2008), perpaduan adalah prasyarat dalam usaha merealisasikan aspirasi negara iaitu mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Gagasan 1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara dalam menyemaikan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Gagasan tersebut menfokuskan ke arah pembentukan sifat penerimaan antara kaum yang membawa kepada perpaduan yang utuh. 1Malaysia menekankan sikap penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum yang mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain untuk mewujudkan suasana saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Tuntasnya, gagasan 1 Malaysia mewujudkan hubungan etnik yang positif dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Secara keseluruhan, dasar pemerintahan yang diperkenalkan oleh British telah menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini. Untuk mengatasi permasalahan tersebut, pemimpin pada ketika itu berusaha untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Perkara tersebut dapat dilihat menerusi penubuhan sistem ahli yang turut dianggotai oleh pemimpin daripada pelbagai kaum. Bertepatan dengan hasrat para pemimpin ketika itu untuk memerdekakan Tanah Melayu, parti-parti politik yang mewakili kaum masing-masing iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) bergabung untuk membentuk parti multietnik yang dikenali Parti Perikatan. Persefahaman antara kaum juga dapat dilihat menerusi penggubalan perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang mengambil kira kepentingan dan hak kaum-kaum yang lain. Sejajar dengan pembentukan Malaysia, Parti Perikatan bersama dengan parti peribumi di Sabah dan Sarawak telah bergabung untuk membentuk Barisan Nasional yang kemudiannya menjadi parti multietnik yang terbesar di Malaysia. Oleh yang demikian, peristiwa-peristiwa tersebut membuktikan persefahaman masyarakat Malaysia untuk mewujudkan kerjasama kaum dalam konteks politik.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran