Konsep Pengurusan Bilik Darjah


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Pengurusan bilik darjah adalah satu proses pembentukan suatu alam pembelajaran serta usaha untuk mengekalkannya dimana iklimnya kondusif untuk pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran agar objektif yang ditetapkan tercapai (Mok Soon Sang, 2011). Perkara tersebut melibatkan pembinaan suasana pembelajaran  yang terbaik dalam bilik darjah bagi meningkatkan motivasi pelajar dan memperkembangkan sikap tanggungjawab serta kebolehan untuk membuat perancangan sendiri (Noraini Idris, 2009).
Pengurusan bilik darjah bermaksud bagaimana bagaimana guru dan pelajar bekerja, bagaimana mereka saling berkerjasama dan bagaimana pengajaran dan pembelajaran berlaku. Perkara tersebut merupakan kerjasama antara guru dan pelajar untuk mengurus segala aspek terdapat dalam bilik darjah yang melibatkan pengurusan pelajar, kemudahan fizikal serta aktiviti yang dilaksanakan agar satu alam belajar yang kondusif untuk sesi pengajaran dan pembelajaran dapat diwujudkan (Mok Soon Sang, 2011).
Kecekapan pengurusan bilik darjah seseorang guru berkait rapat dengan keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (Abdullah Sani, 2006). Pengurusan bilik darjah merupakan sebahagian dari proses pengajaran dan pembelajaran bertujuan untuk membina serta memupuk tingkah laku pelajar dalam bilik darjah agar proses pengajaran dapat dilaksanakan dengan lancar, manakala aktiviti penyampaian ilmu bertujuan pelajar dapat mencapai objektif spesifik sesuatu pembelajaran (Haliza & Joy Nesamalar, 2016).  Suasana pembelajaran yang berkesan tidak mungkin terbina dengan hanya memberi tumpuan pada proses penyampaian isi pengajaran guru sahaja. Ia turut melibatkan aspek pengurusan bilik darjah serta tingkah laku pelajar.
Pengurusan bilik darjah berkesan mampu meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Seorang guru seharusnya mampu mengurus bilik darjah dan mengawal tingkah laku pelajar agar proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan lancar dan berkesan tanpa gangguan. Disamping itu, ia mampu mempengaruhi motivasi, tingkah laku serta penglibatan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bilik darjah yang diurus dengan baik adalah tempat dimana pelajar sentiasa mengambil berat dan bekerjasama di antara satu sama lain, membuat pilihan yang bijak dan sering berusaha untuk menghasilkan kerja yang berkualiti, menarik dan penting bagi mereka.
Persekitaran pembelajaran yang kondusif adalah tempat pelajar dapat melibatkan diri, mengambil bahagian dan menumpukan perhatian dalam pelajaran (Haliza &Joy Nesamalar, 2016). Maka, bilik darjah yang diurus dengan baik dapat membentuk satu iklim pengajaran dan pembelajaran yang positif dan kondusif. Namun, ia sukar untuk diwujudkan dan sangat mencabar buat semua guru. Sekiranya ia wujud dalam bilik darjah, pelajar akan berminat mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan tanpa gangguan atau halangan. Iklim pembelajaran mencakupi semua elemen yang ada di sekeliling pelajar dan berupaya mempengaruhi pembelajaran dan tingkah laku pelajar (Abdullah Sani, Abdul Rashid & Abdul Ghani, 2007).  Oleh itu, bilik darjah perlu bersifat mesra pelajar.
Pengurusan bilik darjah bukan sahaja melibatkan pengurusan tingkah laku pelajar tetapi merangkumi tindakan guru untuk mewujudkan dan mengekalkan persekitaran pembelajaran dalam bilik darjah (Choong Lan Keow, 2009). Kecekapan dan keberkesanan kemahiran guru dalam mengurus bilik darjah dapat menggalakkan pembentukkan iklim pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Pada masa kini pengurusan tingkah laku pelajar semakin mencabar dan tingkah laku mereka sukar dikawal dengan berkesan sehingga menyebabkan gangguan pada proses pengajaran dan pembelajaran. Ianya boleh mempengaruhi iklim disiplin dan pencapaian mereka serta turut memberi kesan kepada iklim dan budaya sekolah. Sehubungan ini, pengetua perlu memastikan para guru memahami tugas dan peranan mereka dalam menentukan disiplin pelajar di bilik darjah berada dalam keadaan baik dan terkawal pada setiap masa.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Binaan Plot