Sejarah Perkamusan
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Menurut Ainon Mohd dan
Abdullah Hassan (2007), bidang
leksikografi atau perkamusan tidak bermula dengan kamus-kamus bahasa moden
tetapi dengan bahasa-bahasa lama seperti Latin, Sanskrit, Yunani dan lain-lain.
Al-Kassimi (1983) yang dipetik daripada Ibrahim Ahmad (2005) yang menyatakan
bahawa perkamusan bermula sebagai alat praktis bukan sebagai alat teoritis. Hal
ini kerana, kemunculan leksikografi berbeza antara satu budaya dengan budaya
yang lain. Pada abad ke-7, Leksikografi Arab telah muncul disebabkan beberapa
sebab keagamaan. Pada dasarnya, kamus tersebut disusun untuk menerangkan perkataan
luar biasa yang terdapat dalam al-Quran dan hadis.
Hashim
Musa (2003) menyatakan bahawa bentuk awal leksikografi berkembang menerusi
nota-nota istimewa yang dibuat mengenai ungkapan-ungkapan luar biasa dalam
kesusasteraan klasik India, misalnya karya-karya Kitab Veda dan sifat ekabahasa
di tamadun India. Pada zaman tamadun Yunani, glos dibuat di bahagian tepi untuk
menerangkan ungkapan yang lama dan sukar. Glos-glos tersebut digunakan untuk
menulis semula teks-teks lama dengan cara yang lebih mudah. Glos-glos tersebut
mengalami proses evolusi sehingga bertukar menjadi glosari yang memberikan
padanan antara bahasa Yunani klasik dengan bahasa Yunani baharu. Leksikografi
bahasa Inggeris pula bermula dengan penterjemahan teks Latin ke dalam bahasa
Anglo-Saxon.
Kemunculan
Kamus Melayu pada peringkat global merupakan kesinambungan dari peristiwa dalam
sejarah di Eropah. Collins dalam Kramsch (2001) menyatakan bahawa pada zaman
sekitar 1450 hingga 1680 merupakan era yang bercirikan commerce of ideas iaitu bukan semata-mata barang dagangan yang
disalurkan tetapi juga budaya dan teknologi, bahkan khayalan yang tersalur
antara benua Eropah dan alam Melayu. Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul
Rahman et al. (2002), kemunculan Melaka sebagai pelabuhan utama di alam Asia
Tenggara pada awal abad ke-15 dan kemudian diikuti pula oleh perkembangan
budaya yang amat pesat di Melaka dengan kemasukan kebudayaan asing terutamanya
pengaruh kesultanan Uthmaniyah dari Asia Barat, Eropah Timur, dan juga pengaruh
empayar Moghul di India dan Asia Tengah dan kebudayaan dari Tanah Besar Cina
telah menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca dalam perhubungan pada
masa itu. Malahan, bahasa ini memainkan peranan yang penting dalam pelbagai
bidang seperti keagamaan, falsafah dan kesusasteraan.
Menurut
Asmah Haji Omar (1985), kamus Melayu yang paling awal yang pernah diketahui
ialah senarai kata Melayu-Cina yang
terdiri daripada 482 kata entri yang dikumpulkan antara 1403M-1511M, seperti
yang dihuraikan oleh E.D. Edwards dan C.O.Blagden dalam karangan yang bertajuk A Chinese Vocabulary of Malacca Malay Words
dan Phrases Collected Between A.D. 1403 and 1511(?) dalam Bulletin of the School of Oriental and
African Studies, Vol.VI, 1930-32, (h. 715-749). C.O Blagden dalam
penulisannya menyatakan bahawa sejarah perkembangan perkamusan Melayu telah
bermula sejak awal abad ke-15 lagi. Yang Quee Yee menyatakan bahawa daftar kata
awal ini diterbitkan di China dan nama Cinanya ialah Man La Jia Yi Yu, iaitu Senarai Perkataan Negeri Melaka. Tahun 1403
hingga 1511 dicatatkan sebagai tahun terhasilnya daftar kata ini kerana
berdasarkan sejarah, negara China di bawah pemerintahan Dinasti Ming telah
mempunyai hubungan diplomatik dengan negeri Melaka. Hasil daripada hubungan
diplomatik ini, bangsa Cina sedar akan perlunya satu daftar kata dihasilkan
bagi membolehkan mereka menguasai bahasa Melayu yang banyak digunakan dalam
pergaulan seharian. Malahan, kosa kata yang terdapat di dalamnya juga berkait
rapat dengan hal-hal seperti angin, sungai, penghantaran ufti dan kosa kata
lingkungan istana. Ini menunjukkan bahawa daftar kata ini tidak bertujuan untuk
kepentingan awam tetapi untuk keperluan pegawai-pegawai kerajaan dan istana
Dinasti Ming. Daftar kata ini menunjukkan bahawa kamus telah wujud sebelum kedatangan
Portugis ke Melaka. Hal ini demikian kerana tiadanya kosa kata Portugis dalam
kosa kata tersebut (Linehin. W.,1948). Meskipun begitu, Collins menyatakan
bahawa senarai kata ini tidak pernah ditemui. Apa yang terdapat pada hari ini
hanyalah senarai kata yang diterbitkan di London dalam makalah Edwards dan Blagden pada tahun
1930-1932. Menurut Noresah Baharom (2005), daftar kata ini tidak memberikan
kesan yang besar terhadap bidang perkamusan bahasa Melayu. Pada abad ke-16,
muncul sebuah senarai kata Melayu yang penting iaitu senarai dwibahasa Belanda-Melayu yang dihasilkan pada
tahun 1598. Setelah itu, senarai kata tersebut dikumpulkan sebagai salah satu
hasil daripada pelayaran Belanda yang pertama di Nusantara dan disebarkan di
Eropah.
Puteri
Roslina Abdul Wahid (2011) menyatakan bahawa daftar kata kedua tertua dalam
bahasa Melayu ialah daftar kata Itali-Melayu
yang dihasilkan oleh Piigafetta pada tahun 1521. Senarai kata tersebut
dinamakan Daftar Kata Orang Islam. Dalam buku tersebut, terdapat 426 kata atau
frasa bahasa Itali yang mempunyai 450 padanan kata dalam bahasa Melayu. Daftar
kata ini merupakan kamus bahasa Melayu yang pertama dapat dikesan. Daftar kata
ini dihasilkan adalah untuk kepentingan penyebaran agama Kristian dan
perdagangan. Kandungannya merupakan senarai nama barang, sukatan beras,
perkapalan, hasil bumi dan sebagainya. Pada asasnya, isi kamus ini mudah
dikenal pasti, walaupun ejaan Pigafetta mengikut ejaan bahasa ibundanya.
Kamus
Pigafetta merupakan salah satu dokumen penting pada abad ke-16 kerana bahasa
Melayu mula diperkenalkan di Eropah berdasarkan penulisan beliau (Bausani, 1960). Pada tahun 1623, muncul
kamus Melayu yang lebih mantap, iaitu kamus Belanda-Melayu
yang berjudul Vacabularian ofte
Woord-boek naer ordre vanden Alphabet in’t Duytsch-Maleysch ende
Maleysch-Duytsch. Kamus ini disusun oleh Casper Wiltens dan Sebastianus
Dankaerts. Kamus Dictionarium
Malaico-Latinum et Latinum Maicum yang diusahakan oleh Paderi David Haex
pada tahun 1631 mengandungi entri Melayu-Latin.
Kemudian, kamus ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan Perancis.
Kamus ini lebih bersifat kamus tatabahasa yang menerangkan pelbagai sifat
bahasa dan terpisah daripada sifat kamus semasa. Daftar kata lain yang
dihasilkan ialah daftar kata Melayu-Belanda
oleh J. Heurnius pada tahun 1650 iaitu A
Brief Dictionary of the Malay Tongue oleh John Ogilby pada tahun 1673 dan
daftar kata Melayu-Belanda oleh F.
Gueyniers pada tahun 1677 yang merupakan kamus huraian dan tatabahasa.
Noresah Baharom (2009) menyatakan bahawa Werndly telah meneruskan
usaha penghasilan kamus huraian tatabahasa dengan memperkenalkan daftar kata Belanda-Melayu pada tahun 1736. Pengkaji
berbangsa Inggeris yang terlibat dalam perkamusan ialah J.Howison iaitu menursi
kamus yang dikenali sebagai Dictionary of
the Malay Tounge As Spoken in the Peninsular of Malacca, the Island of
Sumatera, Java, Borneo, Pulo Pinang etc.. Kajian tersebut merupakan entri
kata Inggeris-Melayu yang dihasilkan
pada tahun 1801. Rentetan daripada itu, karya Marsden pada tahun 1812 yang
berjudul A Dictionary of the Malayan
Language merupakan perkembangan baharu dalam dunia perkamusan Melayu. Usaha
tersebut kemudiannya diteruskan lagi dengan penghasilan The Grammar of the Malayan Languages pada tahun 1824. Kamus lain
yang diusahakan oleh P.P. Roorda van Eysinga, iaitu Kamus Belanda-Melayu (1824) dan Kamus
Melayu-Belanda (1825). Di Perancis juga terdapat seorang pakar bahasa
Melayu, iaitu L’B Abbe P. Favre yang menyusun kamus dwibahasa Melayu-Perancis pada tahun 1875 dan kamus
Perancis-Melayu (1880) yang bertajuk Dictionaire
Malaise Francaise.
Siti
Hajar Abdul Aziz (2011) menyatakan bahawa Kitab Pengetahuan Bahasa yang
dihasilkan oleh Raja Ali Haji pada tahun 1858 merupakan ensiklopedia yang tidak
lengkap dan kurang sistematik. Bahan-bahan yang terdapat dalam buku ini
pelbagai dan tidak terbatas kepada penjelasan erti kata semata-mata. Pengkaji
lain yang menghasilkan kamus pada tempoh masa ini ialah Favre (1875), Tugault
(1898), John Crawford (1852), Frank Swettenhem (1881), John Tamar (1867), Van
de Wall (1877), H.C.Klinkert (1885), Shellabear (1902), dan Van Ronkel (1918).
R.J. Wilkinson menghasilkan A
Malay-English Dictionary Jilid I, II, dan III pada sekitar tahun 1901
hingga 1903. Kamus ini ditulis dengan ejaan Jawi dan disusun mengikut tertib
huruf rumi. Asal kata pinjaman juga turut dimasukkan ke dalam kamus ini. Kamus
ini telah diperbaharui dalam bentuk Rumi pada tahun 1932. Kamus Melayu yang
menghuraikan makna perkataan pula dihasilkan oleh Haji Shamsudin Muhamad Yunus
pada tahun 1920. Di samping itu, Mahmud bin Sayid Abdul Kadir menyusun sebuah
kamus berjudul Kamus Mahmudiyyah yang
diterbitkan pada tahun 1894, kemudian sekali lagi pada tahun 1925.
Muhamad
Idris Abdul Raof Al-Marbawi telah mengusahakan Kamus Idris al-Marbawi: Arab-Melayu pada tahun 1931 (Hashim Musa,
1994). Kamus ini telah berjaya memenuhi keperluan masyarakat Melayu dalam
bidang agama. Kamus ini telah mendapat sambutan yang memberansangkan dan telah
diulang cetak sebanyak 24 kali. Kamus ini mempunyai dua jilid yang
menyenaraikan 36,000 patah perkataan Arab yang diberi makna dalam bahasa
Melayu. Jilid pertama bagi kamus ini telah diterbitkan pada tahun 1350H (1931)
yang mengandungi 408 halaman, dan jilid kedua pada tahun 1354H (1935) yang
mengandungi 407 halaman. Kedua-duanya dicetak di Matba’ah Mustafa
al-babial-halabi wa-Auladihi, Mesir. Kamus ini mengandungi petunjuk cara
menggunakan kamus dengan mencari kata akar, lukisan dan gambar bagi menjelaskan
sesuatu keterangan, keterangan tentang perlunya melukis gambar binatang dan
manusia, dan keterangan tentang jenis binatang dan hukum memakannya sama ada
halal atau haram, dan binatang yang belum jelas hukumnnya. Kesemua hukum yang
dijelaskan dalam kamus tersebut adalah berdasarkan berdasarkan mazhab Syafie.
Usaha
penghasilan kamus kemudiannya diteruskan
pula oleh Pakatan Bahasa Melayu dan Persuratan Diraja Johor (P.Bm.P.D.) yang
menerbitkan sebuah kamus penjelas makna kata Melayu pada tahun 1936 dengan judul
Buku Katan P.Bm.P.B. Diraja. Menurut
Khairuddin Mohamad et al. (2014), Kamus tersebut terdiri daripada empat jilid.
Sejak tahun 1950, terdapat dua kamus yang dihasilkan, iaitu Kamus Am Bahasa Melayu dan Kamus Melayu (di Indonesia dikenali
sebagai Kamus Moderen Bahasa Indonesia dan Kamus Umum yang diterbitkan pada
tahun 1954 dan 1952). Selepas tahun 1950, telah muncul beberapa kamus besar dan
juga institusi-institusi formal yang berusaha menyusun kamus seperti Dewan
Bahasa dan Pustaka dan juga Pusat Bahasa Indonesia. Era ini ditandai dengan
kemunculan Kamus Umum Bahasa Indonesia susunan W.J.S Poerwadaminta pada tahun
1952 yang telah menyimpan 20 ribu entri. Selain itu, terdapat juga beberapa
Kamus Besar muncul pada zaman yang sama. Perkamusan pada peringkat ini telah
diterap dengan tujuan yang baru iaitu pembentukan kamus normatif yang mengetengahkan
penggunaan bahasa yang betul.
Perkembangan bidang perkamusan diteruskan lagi
menerusi penghasilan Kamus Dewan. Menurut Noresah Baharom (2013), Kamus Dewan
merupakan kamus ekabahasa Melayu yang autentik dan penyusunannya bermula pada
tahun 1960-an serta diterbitkan sebagai edisi pertama pada tahun 1970. Kamus
ini mengalami pembaharuan dari semasa ke semasa dengan beberapa penyesuaian
ejaan berdasarkan Pedoman Ejaan Rumi
Bahasa Malaysia (1972) yang dipersetujui bersama oleh negara anggota Majlis
Bahasa Melayu Brunei, Indonesia dan Malaysia (MABBIM) pada tahun 1984; dengan
pertambahan kira-kira 2,000 kata entri baharu pada tahun 1989 dalam edisi
baharu atau edisi keduanya; dengan pertambahan 6,000 kata entri dalam edisi ketiganya
(1994). Bagi memenuhi perkembangan sebanyak kosa kata bahasa Melayu dalam
tempoh satu dekad kebelakangan ini, Kamus
Dewan Edisi Keempat kini berada di pasaran. Kamus ini memuatkan 5,843 kata
baharu yang terdiri daripada kata umum, istilah umum pelbagai bidang ilmu,
dialek, slanga dan sebagainya. Secara keseluruhannya, edisi terkini Kamus Dewan
ini memuatkan sebanyak 82,900 kata yang berupa kata tunggal, kata terbitan dan
kata majmuk.
Ulasan
Catat Ulasan