Sumbangan Sastera Kanak-kanak

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin


Berdasarkan definisi yang diberikan oleh Khairuddin Mohamad et al. (2014), sastera kanak-kanak dapat didefinisikan sebagai karya sastera yang dihasilkan dalam bentuk buku yang boleh dibaca oleh kanak-kanak dan mampu menimbulkan keseronokan kepada mereka. Bagi mencapai tahap tertinggi nilai sastera dan estetika karya, penghasilan sastera awal kanak-kanak ini dilakukan dalam bentuk tulisan dan ilustrasi. Sastera kanak-kanak merupakan salah satu elemen yang dikenal pasti berupaya melengkapkan perkembangan seseorang kanak-kanak. Hal ini demikian kerana, sastera awal kanak-kanak mampu memberikan keseronokan, dapat merangsang imaginasi, dapat membantu mengenal dan memahami diri sendiri, dapat memahami bahasa secara semula jadi, dapat membantu mendapatkan maklumat dan dapat memupuk nilai-nilai murni kepada individu kanak-kanak. Dalam konteks pendidikan, sastera kanak-kanak memainkan peranan yang penting dalam memperkembang bahasa dan komunikasi kanak-kanak, kognitif kanak-kanak, personaliti kanak-kanak, kerohanian dan moral kanak-kanak, sosial kanak-kanak dan kreativiti dan estetika dalam kalangan kanak-kanak (Zainiah Mohamed Isa, 2007). Terdapat beberapa sumbangan sastera kanak-kanak dalam perkembangan kesusasteraan Melayu di Malaysia.
            Kemunculan sastera kanak-kanak telah menghasilkan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak. Dalam hal ini, kanak-kanak memerlukan bahan bacaan yang mengandungi penggunaan bahasa yang mudah difahami dan tidak terlalu kompleks. Berdasarkan pernyataan tersebut, laras bahasa yang digunakan dalam penulisan karya sastera kanak-kanak adalah mudah untuk membolehkan kanak-kanak memahami mesej yang terkandung dalam karya sastera kanak-kanak tersebut. Perkara tersebut selaras dengan Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget yang menyatakan bahawa perbendaharaan kata dalam kalangan kanak-kanak amatlah terhad menyebabkan mereka tidak dapat memahami beberapa perkataan yang bersifat abstrak (Wong Kiet Wah et al., 2013). Menurut Khairuddin Mohamad et al. (2014), penulisan karya sastera kanak-kanak menggunakan bahasa yang bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak. Penggunaan ilustrasi juga amat dalam karya sastera kanak-kanak untuk menimbulkan minat kanak-kanak terhadap pembacaan. Dengan itu, kanak-kanak dapat memahami penceritaan yang terkandung dalam sesuatu karya sastera kanak-kanak. Hal ini secara tidak langsung dapat mengelakkan kanak-kanak daripada berasa bosan ketika membaca karya sastera. Deduksinya, kemunculan sastera kanak-kanak telah menghasilkan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak menerusi penggunaan bahasa yang mudah serta ilustrasi yang menarik.
            Sastera kanak-kanak juga turut mengekalkan nilai-nilai kebudayaan masyarakat Melayu dalam penghasilan karya sastera kanak-kanak tersebut. Dalam hal ini, penghasilan karya sastera kanak-kanak membolehkan kanak-kanak mengetahui jenis-jenis karya sastera yang terdapat dalam masyarakat Melayu. Menurut Husin Fateh Din dan Nazariyah Sani (2014), genre sastera kanak-kanak dapat dikasifikasikan kepada bentuk naratif seperti cerita kanak-kanak dan bentuk bukan naratif seperti pantun kanak-kanak. Karya sastera kanak-kanak berbentuk naratif menekankan aspek perkembangan penceritaan dalam karya tersebut. Manakala, karya sastera kanak-kanak bukan naratif pula tidak menekankan aspek penceritaan tetapi mengandungi mesej-mesej yang berbentuk nasihat untuk memberi pengajaran kepada kanak-kanak sebagai pembaca karya tersebut. Penggunaan ilustrasi menarik dalam karya sastera kanak-kanak juga turut menimbulkan minat kanak-kanak untuk mendalami karya tersebut. Pernyataan ini signifikan dengan pendapat Khairuddin Mohamad et al. (2014) yang menyatakan bahawa karya sastera kanak-kanak mengandungi ilustrasi yang menarik untuk menarik minat kanak-kanak membaca karya tersebut. Dengan timbulnya minat kanak-kanak terhadap karya sastera kanak-kanak tersebut, secara tidak langsung kelestarian nilai-nilai kebudayaan masyarakat Melayu dalam konteks kesusasteraan dapat dikekalkan. Hal ini demikian kerana, menerusi karya sastera kanak-kanak, kanak-kanak dapat memahami pelbagai jenis karya sastera kanak-kanak yang terdapat dalam masyarakat Melayu dengan lebih mudah. Konklusinya, nilai-nilai kebudayaan masyarakat Melayu dalam konteks kesusasteraan dapat dilestarikan menerusi sastera kanak-kanak.
            Dalam konteks pendidikan, sastera kanak-kanak juga memainkan peranan penting dalam pembelajaran kanak-kanak seperti mana yang ditekankan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Melayu Sekolah Rendah.  Elemen sastera kanak-kanak dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Melayu Sekolah Rendah dapat dilihat menerusi penyerapan aspek seni bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu pada peringkat sekolah rendah. Aspek seni bahasa merujuk kepada keupayaan murid mengungkap dan mengapresiasi keindahan bahasa, memahami dan menghargai bahasa melalui pembelajaran yang menyeronokkan menerusi kepelbagaian aktiviti secara didik hibur. Seni bahasa memberi penekanan kepada keindahan bahasa yang dipelajari oleh murid melalui teknik penyampaian yang menarik dan menyeronokkan seperti bernyanyi, bercerita, berlakon dan berpuisi. Pembentukan ayat yang menggunakan simile, peribahasa, bahasa kiasan dan personafikasi yang terdapat dalam puisi dan penulisan kreatif juga menampakkan keindahan dan seni dalam bahasa Melayu. Berdasarkan pernyataan tersebut, sastera kanak-kanak mampi meningkatkan kemahiran berbahasa dalam kalangan murid menerusi penerapkan elemen seni bahasa yang mengintegrasikan pelbagai genre sastera kanak-kanak seperti pantun kanak-kanak, cerita kanak-kanak serta lagu kanak-kanak. Intihanya, sastera kanak-kanak juga memainkan peranan penting dalam pembelajaran bahasa kanak-kanak untuk meningkatkan kemahiran berbahasa dalam kalangaan murid.
            Secara holistik, sastera kanak-kanak merupakan karya sastera yang dihasilkan untuk kanak-kanak bagi meningkatkan perbendaharaan kata dalam kalangan kanak-kanak. Sastera kanak-kanak dapat diklasifikasikan kepada beberapa genre seperti pantun kanak-kanak, cerita kanak-kanak dan lagu kanak-kanak. Sastera kanak-kanak memainkan peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak terutamanya untuk meningkatkan proses kreatif dan imaginatif. Kemunculan sastera kanak-kanak telah menghasilkan bahan bacaan yang sesuai untuk peringkat umur kanak-kanak menerusi penggunaan bahasa yang mudah untuk difahami. Dengan adanya sastera kanak-kanak juga, kanak-kanak dapat memahami keindahan bidang kesusasteraan Melayu. Sastera kanak-kanak juga memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan menerusi pengenalan aspek seni bahasa dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang mengandungi pelbagai genre sastera kanak-kanak seperti lagu kanak-kanak, cerita kanak-kanak, drama kanak-kanak dan puisi kanak-kanak. Oleh yang demikian, sastera kanak-kanak memberi sumbangan yang besar terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu di negara ini dalam pelbagai bidang.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran