Kepentingan Pelaksanaan Peperiksaan Akhir Tahun di Sekolah

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin


Sistem pendidikan di Malaysia masih menggunakan peperiksaan sebagai medium penilaian utama untuk menilai pencapaian murid. Perkara tersebut dapat dilihat menerusi pelaksanaan beberapa peperiksaan awam dalam sistem pendidikan negara seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2011 juga turut menekankan pelaksanaan peperiksaan sebagai salah satu instrumen penilaian seperti mana yang terdapat dalam Dokumen Standard Kandungan dan Pentaksiran bagi setiap mata pelajaran. Sistem peperiksaan tersebut merupakan satu bentuk penilaian sumatif yang merangkumi aktiviti pengujian dan pengukuran terhadap beberapa unit pembelajaran dalam tempoh satu semester atau dua semester (Boon et al., 2017). Dalam konteks sekolah, peperiksaan merupakan salah satu bentuk pentaksiran yang digunakan oleh guru untuk menilai pencapaian murid secara sistematik.  Menurut Abdul Aziz (2000), tujuan penilaian sumatif dilaksanakan adalah  untuk mengukur pengetahuan murid terhadap sesuatu yang telah dipelajari ketika berlangsungnya aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Terdapat beberapa kepentingan pelaksanaan peperiksaan akhir tahun yang diimplementasikan sebagai medium penilaian di sekolah.
Peperiksaan akhir tahun yang juga merupakan penilaian sumatif adalah penting untuk menentukan dan mengukur hasil pencapaian murid dalam beberapa unit pembelajaran secara lebih terperinci. Peperiksaan akhir tahun  menginterpretasikan pencapaian murid dalam bentuk kuantitatif iaitu dalam bentuk perwakilan data yang lebih jelas. Hal ini demikian kerana, pencapaian murid yang dalam peperiksaan akhir tahun diinterpretasikan dalam bentuk skor dan gred. Menerusi skor dan gred yang telah murid peroleh daripada peperiksaan akhir tahun tersebut, guru boleh menentukan hasil pencapaian murid berdasarkan tafsiran skor dan gred yang telah ditetapkan. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2016),  pentafsiran skor dan gred murid dalam peperiksaan adalah seperti yang ditunjukkan oleh Jadual 1. Berdasarkan tafsiran skor dan gred yang terdapat Jadual 1, murid yang memperoleh skor 85% (A) dikategorikan sebagai murid yang mempunyai pencapaian yang cemerlang. Pelaksanaan ujian formatif yang tidak menekankan penginterpretasian data seperti yang ditekankan oleh ujian sumatif sudah tentu menyukarkan guru untuk mengukur tahap pencapaian murid. Deduksinya, pelaksanaan peperiksaan akhir tahun membantu guru dalam menentukan dan mengukur pencapaian murid kerana peperiksaan tersebut merupakan satu bentuk penilaian sumatif yang menekankan penginterpretasian data secara kuantitatif dalam bentuk skor.
Jadual 1: Tafsiran Skor dan Gred
Julat Markah (%)
Gred
Catatan
80 – 100
A
Cemerlang
65 – 79
B
Baik
50 -64
C
Memuaskan
40 - 49
D
Mencapai Tahap Penguasaan Minimum
0 - 39
E
Mencapai Tahap Penguasaan Minimum

Kepentingan peperiksaan akhir tahun yang seterusnya ialah membolehkan murid mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan keperluan mereka. Hal ini demikian kerana, pelaksanaan peperiksaan akhir tahun membantu guru dalam membahagikan murid ke dalam kelas yang bersesuaian dengan tahap pencapaian murid dalam peperiksaan tersebut. Pembahagian murid murid ke dalam kelas yang bersesuaian dengan tahap kognitif murid tersebut adalah perlu bagi membolehkan murid mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan kemampuan mereka. Perkara ini bertepatan dengan pendapat Noriati et al. (2009) yang menyatakan bahawa setiap murid mempunyai tahap kognitif dan gaya pembelajaran yang berbeza. Seperti yang diketahui, sistem pendidkan negara kita mengklasifikasikan murid dalam kelas berdasarkan pencapaian murid tersebut dalam peperiksaan akhir tahun. Dalam sesebuah sekolah, murid yang mempunyai tahap pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun akan ditempatkan di kelas hadapan. Berbeza pula dengan murid yang mencapai prestasi kurang cemerlang yang mana murid tersebut ditempatkan di kelas belakang. Pembahagian murid dalam kelas berdasarkan pencapaian peperiksaan membolehkan seseorang murid mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Pendekatan pengajaran yang guru gunakan untuk setiap kelas adalah berbeza.  Untuk kelas hadapan, guru kebiasaannya aktiviti pengajaran dan pembelajaran guru berfokus pada pengayaan. Manakala, untuk kelas belakang, aktiviti pengajaran dan pembelajaran lebih memberi fokus terhadap aspek pemulihan. Konklusinya, pelaksanaan peperiksaan akhir tahun membantu guru menempatkan murid di dalam kelas yang bersesuaian dengan tahap kognitif murid berdasarkan pencapaian dalam peperiksaan akhir tahun untuk memastikan murid dapat mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan tahap kognitif mereka.
Pelaksanaan peperiksaan akhir tahun di sekolah adalah penting bagi membolehkan guru melakukan penambahbaikan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan. Menerusi pelaksanaan peperiksaan akhir tahun, guru dapat melihat tahap pencapaian murid secara berdasarkan skor dan gred yang murid peroleh dalam ujian tersebut. Dengan mengetahui tahap pencapaian murid, guru dapat menentukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan tahap kognitif murid. Situasi tersebut signifikan dengan pendapat Boon et al. (2017) yang menyatakan bahawa pemberian gred dalam ujian sumatif juga memberikan maklumat kepada guru  untuk menilai keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan. Sekiranya murid mencapai tahap cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun, guru boleh melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih kompleks bagi mengembangkan lagi potensi murid dalam aspek tertentu. Manakala, jika murid mencapai skor dan gred yang rendah dalam peperiksaan akhir tahun tersebut, guru akan melakukan penambahbaikan terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dilakukan dari segi strategi pengajaran, pendekatan pengajaran, kaedah pengajaran, teknik pengajaran dan penggunaan bahan bantu mengajar. Dengan melakukan penambahbaikan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran, guru dapat meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan. Intihanya, pelaksanaan peperiksaan akhir tahun di sekolah membantu guru mengenal pasti tahap kognitif murid untuk tujuan penambahbaikan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan.
Membantu guru dalam mendiagnostik murid yang sepatutnya mengikuti Program Pemulihan Khas merupakan kepentingan pelaksanaan peperiksaan akhir tahun di sekolah. Berdasarkan takrifan yang diberikan oleh Jabatan Pendidikan Khas (2003), Program Pemulihan Khas ialah program yang dirancang oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengatasi masalah murid yang menghadapi kesukaran dalam pembelajaran khususnya dalam aspek penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira. Untuk mendiagnostik murid, guru melakukan penganalisisan terhadap skor dan gred yang murid peroleh dalam peperiksaan tersebut. Dengan itu, guru dapat mengenal pasti murid yang mana memperoleh skor yang agak rendah. Perkara ini sejajar dengan pendapat Boon et al.(2017) iaitu maklumat peperiksaan akhir tahun amat penting kepada guru untuk menentukan jenis pendidikan yang bersesuaian dengan murid. Dalam hal ini, program pendidikan yang sesuai untuk murid yang tidak mencapai tahap penguasaan minimum terhadap sesuatu kemahiran asas dalam mata pelajaran tertentu ialah pendidikan pemulihan (Khairuddin et al., 2013). Tuntasnya, pelaksanaan peperiksaan akhir tahun membantu guru dalam mengenal pasti murid yang tidak dapat menguasai kemahiran asas dalam pembelajaran untuk memastikan intervensi awal dapat dilaksanakan.
Pelaksanaan peperiksaan akhir tahun membiasakan murid dengan format peperiksaan awam yang signifikan dengan sistem pendidikan negara kita. Perkara ini adalah penting untuk memastikan murid mengetahui teknik menjawab soalan tersebut dengan betul. Tanpa pelaksanaan peperiksaan akhir tahun, sudah tentu murid akan menghadapi masalah untuk menjawab soalan peperiksaan kerana kurang terdedah dengan format peperiksaan tersebut. Perubahan format peperiksaan awam secara drastik sudah tentu menyukarkan murid untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan awam tersebut. Perkara ini dapat dibuktikan menerusi keputusan peperiksaan awam UPSR tahun 2016 yang mana prestasi murid dalam peperiksaan tersebut mengalami penurunan yang drastik. Menurut Azman (2016), punca kemerosotan yang begitu mendadak dalam UPSR tahun 2016 ialah murid tidak terdedah dengan format peperiksaan tersebut yang mana telah mengalami perubahan. Perkara tersebut jelas menunjukkan bahawa prestasi murid dalam peperiksaan awam dapat ditingkatkan menerusi pelaksanaan akhir tahun. Hal ini demikian kerana, peperiksaan akhir tahun mendedahkan murid dengan format soalan dalam peperiksaan awam. Dalam erti kata lain, peperiksaan akhir tahun merupakan suatu bentuk latihan kepada murid sebelum menduduki peperiksaan awam yang sebenar. Perkara ini selari dengan teori behaviorisme yang menyatakan bahawa latihan secara berterusan dalam memberi kesan tedapat pengekalan tingkah laku. Ringkasnya, pelaksanaan peperiksaan akhir tahun mampu meningkatkan pencapaian murid dalam peperiksaan awam kerana peperiksaan tersebut memberi pendedahan kepada murid berkenaan dengan format soalan peperiksaan awam.
Secara holistik, terdapat beberapa kepentingan pelaksanaan peperiksaan akhir tahun di sekolah. Hal ini demikian kerana, peperiksaan akhir tahun membolehkan guru mengenal pasti tahap pencapaian murid berdasarkan data kuantitatif dalam bentuk skor dan gred untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan tahap pencapaian murid. Menerusi pelaksanaan peperiksaan akhir tahun, guru dapat memastikan murid mengalami situasi pembelajaran yang sesuai dengan tahap kognitif mereka. Pelaksanaan peperiksaan akhir tahun adalah signifikan dengan sistem pendidikan negara kita yang menfokuskan penilaian berorientasikan peperiksaan. Peperiksaan akhir tahun juga memberi pendedahan kepada murid berkenaan dengan format peperiksaan awam bagi membolehkan murid tersebut mencapai pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan awam yang diduduki. Oleh yang demikian, pihak sekolah seharunsya melaksanakan peperiksaan akhir tahun signifikan dengan kehendak sistem pendidikan negara kita yang meletakkan peperiksaan sebagai instrumen utama dalam menilai tahap pencapaian murid.

Ulasan

  1. Salam cikgu, boleh saya tahu citation untuk Azman 2016 tu dari artikel atau buku apa?, terima kasih.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Binaan Plot